WASHINGTON - Presiden Donald Trump semalam memberi amaran Amerika Syarikat (AS) menyasarkan 52 lokasi penting di Iran sekiranya negara itu menyerang warga atau aset AS.
Mempertahankan serangan dron AS pada Jumaat lalu di Baghdad yang membunuh komander tertinggi Iran, Trump berkata, angka 52 mewakili jumlah rakyat AS yang dijadikan tebusan di kedutaan AS di Teheran selama lebih setahun bermula penghujung tahun 1979.
Menurut pemimpin AS berkenaan, beberapa lokasi yang menjadi sasaran itu mempunyai kepentingan besar bagi Iran dan budayanya, sasaran terbabit malahan Iran sendiri akan diserang dengan pantas dan teruk.
Trump menegaskan AS tidak mahu lagi sebarang ancaman.
Kenyataan Trump dibuat susulan tekanan memuncak puak pro-Iran yang berang dengan pembunuhan komander tertinggi Pasukan Pengawal Revolusi Iran (IRGC), Mejar Jeneral Qasem Soleimani yang dianggap orang kedua paling berkuasa di Iran.
Pembunuhan Soleimani merupakan kemuncak paling dramatik dalam kemelut antara Washington dan Teheran selain menimbulkan kebimbangan tercetusnya perang besar di Asia Barat.
Dalam pada itu, sumber keselamatan memberitahu AFP, berlaku serangan mortar di sebuah kawasan berhampiran kedutaan AS di Baghdad semalam selain dua roket yang menyasarkan pengkalan udara Al-Balad yang menempatkan tentera AS.
Tentera Iraq mengesahkan serangan misil di Baghdad dan Al-Balad dan berkata tiada mangsa terkorban. Pihak tentera AS turut berkata tiada anggotanya cedera.
Ketika warga Amerika bimbang bagaimana dan bila Iran akan bertindak balas susulan pembunuhan terbabit, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS mengeluarkan buletin mengatakan buat waktu ini tiada ancaman spesifik terhadap negara.
Namun semalam, laman web Federal Depository Library Program, sebuah agensi kerajaan AS dilaporkan digodam sebuah kumpulan mendakwa mempunyai kaitan dengan Iran. Kumpulan itu dilaporkan memuat naik grafik memaparkan bendera Iran dan ikrar membalas dendam atas kematian Soleimani.
Sementara itu, Speaker Dewan AS, Nancy Pelosi berkata dalam satu kenyataan, maklumat diberikan oleh Trump kepada Kongres menimbulkan persoalan serius tentang masa, cara dan justifikasi serangan terbabit.
"Tindakan ketenteraan provokatif, tidak seimbang oleh pentadbiran Trump terus meletakkan anggota tentera, diplomat dan rakyat Amerika serta sekutunya dalam bahaya," kata Pelosi.- AFP