CAMERON HIGHLANDS - [DIKEMAS KINI] Dua mangsa ditemui mati manakala tiga lagi masih tertimbus dalam tragedi tanah runtuh di Batu 59, Blue Valley, di sini pada Jumaat.
Mangsa pertama ditemui jam 5.40 pagi dikenali Haphey, 36, manakala mangsa kedua yang belum dikenalpasti identiti dijumpai pada jam 12.40 tengah hari oleh pasukan mencari dan menyelamat.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintenden Azri Ramli berkata, mangsa ditemui dalam keadaan tubuh masih sempurna di kedudukan 10 meter dari lokasi kejadian pada kedalaman 1.5 meter.
"Setakat ini lima mangsa disahkan terlibat dalam kejadian itu dan berdasarkan keterangan diberikan, tiga daripada mereka merupakan sekeluarga iaitu pasangan suami isteri dan bapa.
"Dua lagi mangsa disahkan sebagai rakan sekerja. Kesemua mereka merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR)," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), di sini pada Jumaat.
Kejadian itu telah dilaporkan kepada polis pada jam 2.10 pagi membabitkan dua rumah pekerja didiami lima warga Myanmar.
Difahamkan, ketika kejadian semua mangsa yang dikenali Haphey, 36, Shing Lan Har, 56, Shing Aung, 39, Om Myue, 38, dan Thang Moung, 25, sedang tidur.
Kejadian itu disedari rakan sekerja yang tinggal di rumah pekerja berhampiran selepas mendengar bunyi dentuman kuat.
Mengulas lanjut, Azri berkata, operasi mencari dan menyelamat ditangguhkan pada jam 7 petang berikutan keadaan cuaca hujan.
Katanya, tiada pergerakan tanah baharu dikesan di lokasi kejadian, namun operasi tetap berdepan kesukaran disebabkan laluan sempit, keadaan tanah yang lembut dan bentuk muka bumi curam.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, kerja-kerja pencarian terpaksa dilakukan secara manual menggunakan cangkul, penyodok dan peralatan lain bagi kerja mengorek tanah disebabkan kesukaran membawa masuk jentera berat.
"Runtuhan tanah ini gelongsor bersama dengan pokok-pokok, itu yang menjadi sedikit kesukaran bagi pasukan penyelamat.
"Bagaimanapun, Unit Anjing Pengesan (K9) yang digerakkan telah mengesan beberapa lokasi positif yang dikenal pasti sebagai tempat mangsa tertimbus," katanya.