Faisal Halim disenarai kesebelasan utama terbaik aksi ketiga saingan kumpulan

Iklan
Pemain Malaysia, Faisal Halim meraikan jaringan gol pada perlawanan Korea Selatan menentang Malaysia bagi peringkat Kumpulan E sempena Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub, pada Khamis. Foto Bernama

PEMAIN sayap sensasi negara, Mohamad Faisal Abdul Halim menjadi satu-satunya pemain Malaysia disenaraikan dalam kesebelasan utama terbaik perlawanan ketiga saingan kumpulan Piala Asia 2023 di sini.

Mohamad Faisal yang menjaringkan salah satu gol penyamaan ketika skuad Harimau Malaya mengikat Korea Selatan pada aksi terakhir Kumpulan E di Stadium Al Janoub di sini, semalam, juga berjaya menempatkan diri dalam kalangan tiga penyerang terbaik, menurut Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Iklan
Iklan

Gol pemain Selangor FC berusia 26 tahun itu menjadi gol pertama Malaysia pada kempen kali ini.

Selain Mohamad Faisal atau lebih dikenali sebagai Faisal Halim, turut dipilih sebagai penyerang terbaik ialah pemain Iraq Aymen Hussein yang mendahului senarai penjaring terbanyak kejohanan dengan mengumpul lima gol dan Ayase Ueda dari Jepun yang telah meledak tiga gol, setakat ini.

Iklan

Penjaga gol Thailand Saranon Anuin mengisi posisi penjaga gol terbaik sementara pemain pertahanan terbaik menjadi milik kapten Palestin Mus’ab Al Battat, Abdullah Al Khaibari (Arab Saudi) dan Farruh Sayfiyev dari Uzbekistan.

Empat pemain tengah terbaik pula ialah Lee Kang-in dari Korea Selatan, Parvizdzhon Umarbayev (Tajikistan), Mehdi Taremi (Iran) dan pemain Iraq Ali Jassim.

Iklan

Malaysia di bawah bimbingan pengendali dari Korea Selatan Kim Pan Gon gagal layak ke pusingan 16 terbaik selepas menamatkan saingan Kumpulan E di kedudukan paling bawah dengan mengumpul satu mata.

Anak buah Pan Gon memulakan kempen dengan dua kekalahan iaitu 0-4 di tangan Jordan dan 0-1 kepada Bahrain, sebelum menampilkan persembahan menakjubkan apabila mencatatkan keputusan seri ketika menentang Korea Selatan yang merupakan juara dua kali.

Ini merupakan penampilan keempat Malaysia di pentas Piala Asia selepas edisi 1976 di Iran, 1980 di Kuwait dan ketika menjadi tuan rumah bersama pada 2007. - Bernama