Wan Junaidi dikenali, berpengalaman luas, berpersonaliti hebat

Iklan
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan bersalam dengan bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar selepas mengurniakan Surat cara Pelantikan Yang Dipertua Negeri Sarawak pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang Dipertua Negeri Sarawak di Balairung Kecil, Istana Negara di sini, pada Jumaat. Turut hadir isteri, Datin Seri Fauziah Mohd Sanusi. Foto Bernama

KUCHING - Berpengalaman luas, dekat di hati rakyat dan berpersonaliti hebat adalah antara pandangan beberapa pemimpin dan rakyat Sarawak bagi menggambarkan keperibadian Yang Dipertua Negeri Sarawak kelapan, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Wan Junaidi yang menerima surat cara pelantikan ke jawatan itu daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Jumaat dilihat sebagai pemimpin terbaik untuk menyandang jawatan itu.

Iklan
Iklan

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, Wan Junaidi memiliki segala pengalaman yang diperlukan untuk mengetuai negeri ini dalam persekitaran kerajaan negeri gigih melaksanakan pelbagai kaedah bagi memajukan Sarawak dengan lebih pesat.

"Dengan pengalaman Tun Wan Junaidi, beliaulah yang paling sesuai sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak," katanya kepada Bernama.

Iklan

Menurutnya, sewaktu menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi berjaya melaksanakan beberapa perkara seperti pindaan bagi memasukkan Perjanjian Malaysia 1963 sebagai sebahagian dari Perlembagaan Malaysia, selain berkaitan autonomi Sarawak dan Sabah sebagai wilayah yang membentuk Persekutuan Malaysia.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah pula berkata, Wan Junaidi memiliki sejarah perkhidmatan untuk negara yang panjang bagi melayakkan beliau menjadi Yang Dipertua Negeri.

Iklan

Sementara itu, pengarah komunikasi sebuah syarikat swasta, Jacqueline David, 58, yakin Wan Junaidi mampu memenuhi harapan rakyat Sarawak dalam memastikan kerajaan negeri terus membawa kemakmuran dan kejayaan.

"Beliau selalu bersama dengan orang ramai di peringkat akar umbi, dan dengan jawatan baharu ini, kita yakin beliau mampu menggalas tanggungjawab sebaik mungkin untuk Sarawak dan penduduknya," katanya.

Menurut Jacqueline, sebagai bekas wartawan yang pernah menemu bual Wan Junaidi secara peribadi, Yang Dipertua Negeri Sarawak itu disifatkannya sebagai seorang yang bekerja dengan sepenuh hati dan tidak bersikap berat sebelah.

Bagi pegawai pemasaran, Siara Anding, 55, nama Wan Junaidi bukan asing baginya, malah dia berbangga dengan pencapaian beliau yang pernah menjadi Speaker Dewan Negara selain mengagumi kepetahannya ketika berucap.

"Kita bangga dan berharap Sarawak terus menjadi sebuah negeri yang dipandang tinggi oleh semua kerana kita dipimpin oleh seorang yang mempunyai personaliti yang hebat,” katanya.

Sementara itu, seorang usahawan tempatan di Sibu Dr Gregory Hii Sui Cheng berkata Wan Junaidi memiliki keperibadian unik, berpendidikan tinggi dan pemimpin berjiwa rakyat yang sentiasa mesra bila ditemui.

"Saya harap Tun Wan Junaidi akan melawat Sibu tidak lama lagi bagi membolehkan komuniti di sini berkongsi kegembiraan dapat bertemu dengannya. Hanya pujian terbaik untuknya, dan kita harapkan bimbingan berterusan daripadanya bagi memastikan Sarawak kekal sebagai rantau yang harmoni dalam kepelbagaian,” tambahnya. - Bernama