DUNGUN - Seorang warga emas tidak dapat menyembunyikan rasa sayu setelah rumah yang didiami sejak 42 tahun lalu hilang sekelip mata selepas dibadai kepala air dalam bencana banjir yang melanda Kampung Shukor, Hulu Dungun, di sini pada petang Khamis.
Tengku Alwi Tengku Ahmad, 64, berkata, rumah yang didiami berdua bersama isterinya itu dihanyutkan kepala air dalam kejadian sekitar jam 4 petang.
"Saya rasa macam mimpi selepas lihat rumah saya hilang sekelip mata dihanyutkan air. Hanya tinggal sisa-sisa binaan rumah bahagian lantai dan tiang.
"Ketika rumah dibadai arus deras, sebahagian rangkanya dihanyutkan air dan menghempap rumah sepupu yang berada berdekatan menyebabkan ia rosak teruk," katanya ketika ditemui pemberita di sini, pada Jumaat.
Menurut Tengku Alwi, rumahnya yang berada berdekatan sungai sering dilanda banjir setiap kali musim tengkujuh, namun katanya kejadian sebelum ini tidak tidak seteruk banjir kali ini.
Sementara itu, seorang lagi penduduk, Tengku Mohd Zulkarnain Tengku Man, 58, berkata, rumahnya turut rosak dibadai ombak sementara rumah anaknya yang dalam pembinaan tidak sempat disiapkan kerana musnah selepas dihanyutkan arus deras.
Katanya, dia menyedari kejadian itu menimpa kira-kira jam 4.30 petang pada hari sama.
"Sebelum sedar rumah saya rosak tu saya sedang bertugas menjaga PPS (pusat pemindahan sementara) di di Dewan Ramai Kampung Shukor.
"Saya dapat tahu pun bila jiran beritahu anjung rumah saya runtuh. Lepas tu minta anak pergi tengok keadaan rumah.
"Rumah saya rosak, rumah sepupu pula dah tak ada kena hanyut air. Rumah anak pula yang sedang dibina hanya tinggal tiang dan musnah dibawa arus," katanya merupakan anggota Angkatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
Tengku Mohd Zulkarnain berkata, dia berharap mereka yang kehilangan tempat tinggal mendapat perhatian dan bantuan kerajaan.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Hanafiah Mat berkata, pihaknya akan membantu mereka yang terjejas dalam bencana banjir.
Katanya, mereka yang kehilangan kediaman akan dibantu oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).