BAGI peminat novel seram, karya Hasrudi Jawawi berjudul Banglo Seksyen 12 barangkali tidak asing buat anda.
Novel terbitan Buku Prima yang mengangkat kisah tragedi pembunuhan enam orang remaja di sebuah banglo terbengkalai 15 tahun lalu menyebabkan banglo itu digelar banglo angker.
Ada yang mengatakan roh enam orang remaja yang mati dibunuh di banglo itu masih bergentayangan dan tidak aman sehingga sekarang.
Penulis juga antara salah seorang yang teruja apabila aktres, Intan Ladyana yang kini sudah bergelar penerbit dan pengarah mengumumkan adaptasi Banglo Seksyen 12 projek pertamanya menerusi syarikat produksi Prisma Pictures Sdn Bhd.
Namun sayangnya, dek beberapa kekangan dan isu teknikal ketika Malaysia berdepan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, Intan tidak mempunyai pilihan lain daripada mengolah semula skrip yang ada.
Atas sebab itu juga, novel Banglo Seksyen 12 akhirnya dijadikan inspirasi untuk filem berjudul sama dengan mengekalkan latar penceritaan iaitu banglo usang dan nama watak dalam filem itu.
Secara ringkasnya, filem yang diarahkan Intan bersama Dharma Nasution itu mengisahkan pembunuhan misteri sekumpulan remaja di sebuah banglo menjadi lokasi kegemaran kumpulan paranormal untuk membuat penggambaran sebagai kandungan di platform digital mereka.
Keadaan menjadi misteri apabila kumpulan paranormal yang datang ke lokasi menemui beberapa mayat tanpa kepala di dalam banglo itu.
Mereka menemui seorang remaja, Fahmi yang terselamat, mukanya berlumuran darah dan sedang ditenangkan oleh Dr Saleha yang memperkenalkan dirinya sebagai pakar psikologi.
Dr Saleha menyatakan bahawa kronologi misteri pembunuhan pada 2006 adalah sama seperti yang berlaku pada malam itu.
Selepas dipujuk, Fahmi yang masih trauma menceritakan perkara misteri yang berlaku sebelum semua rakannya hilang dan meninggal dunia. Dirinya seakan memasuki dunia lain ketika berada di dalam banglo itu.
Intan dan Dharma bijak mengunci perhatian penonton dengan pembukaan yang penuh misteri dan tanda tanya. Jika novel mengambil tempoh durasi 15 tahun, filem ini pula memakan masa 20 tahun bagi kejadian pertama dan kedua.
Dharma dan Intan kemudiannya secara berselang-seli menyusun dua tempoh masa ini, yang sebenarnya adalah kunci kepada persoalan yang berlaku.
Tidak ada wajah jelik seperti kebanyakan cerita seram lain, sebaiknya, kedua-dua gandingan ini memilih untuk memasukkan elemen 'jump scare' yang akan membuatkan penonton tidak senang duduk.
Pemilihan sudut kamera yang berbeza juga menjadi antara kelainan dalam Banglo Seksyen 12. Tidak dinafikan ada beberapa kelemahan dan kelonggaran dari segi jalan cerita, tetapi ia tidaklah mengganggu atau merosakkan keseluruhan jalan cerita.
Lebihan markah boleh diberikan kepada sudut teknikal dan pemilihan para pelakon yang menyaksikan gandingan Intan bersama Mustaqim Bahadon dan barisan pelakon baru seperti Hariz Hamdan, Silfeny Osman, Aniq Suhair, Faez Malek serta Harris Alif.
Walaupun kebanyakan masih baharu, rata-rata memberikan lakonan yang cukup mantap.
Jadi bagi anda yang ingin mengetahui kesudahan jalan cerita filem ini, jangan lupa menyaksikan Banglo Seksyen 12 di pawagam.
BANGLO SEKSYEN 12
PENGARAH: Intan Ladyana, Dharma Nasution
PELAKON: Intan Ladyana, Mustaqim Bahadon, Hariz Hamdan, Silfeny Osman, Aniq Suhair, Faez Malek, Harris Alif
GENRE: Seram
DURASI: 1 Jam 28 Minit
KLASIFIKASI: 13
TAYANGAN: 25 Januari 2024