KUALA LUMPUR - Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung pada Jumaat di sini sebulat suara bersetuju untuk meminta kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, gesaan itu dibuat selepas mengambil kira nasib dan masa hadapan pekerja dalam industri berkenaan.
"Ia bagi memastikan aspek kebajikan dan hak pekerja ekonomi Gig di Malaysia terpelihara,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato’ Onn di sini pada Jumaat.
Terdahulu Timbalan Presiden Persatuan Penghantar E-Hailing Malaysia, Abdul Hakim Abdul Rani menyerahkan memorandum p-hailing kepada Asyraf.
Penyerahan itu dilakukan sebelum mesyuarat MKT UMNO bermula, sekitar jam 8 malam tadi.
Dalam pada itu katanya lagi, mesyuarat MKT juga turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia yang secara konsisten memperjuangkan nasib rakyat Palestin.
Katanya, ia hingga membawa kepada keputusan positif Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam mendepani isu berkenaan.
"Ia berpandukan kes yang dibawa oleh Afrika Selatan yang memerintahkan Israel untuk menghalang tindakan pembunuhan beramai-ramai (genosid) terhadap rakyat Palestin dan membenarkan bantuan kemanusiaan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Asyraf berkata, UMNO juga akan mengadakan Kolokium Kongres Ekonomi Bumiputera pada 3 Februari ini bertempat di Dewan Merdeka, WTC Kuala Lumpur.
"Resolusi Kolokium ini akan dibentangkan pula dalam Kongres Ekonomi Bumiputera yang akan dianjurkan pada 29 Februari, 1 dan 2 Mac 2024 kelak,” katanya.
Terdahulu mesyuarat MKT UMNO dipengerusikan oleh Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turut dihadiri oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan selain kepimpinan tertinggi UMNO yang lain.