Negeri tak setuju tarif air naik perlu kemuka mekanisme: Xavier

Iklan
Dr Xavier Jayakumar

KLANG - Negeri-negeri yang masih tidak bersetuju dengan rancangan untuk menaikkan tarif air perlu tampil dengan satu mekanisme yang boleh menjamin kualiti perkhidmatan dan bekalan air terawat secara berterusan kepada semua penggunanya.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, perkara ini sangat penting bagi memastikan kadar simpanan air terawat negeri mencukupi dan tidak memberi masalah di kemudian hari.

Iklan
Iklan

"Difahamkan Negeri Sembilan kata mereka tidak akan naikkan tarif air, bagaimana?

"Jika mereka tak mahu laksanakan kenaikan tarif air, perlu ada mekanisme lain dan bawa kepada kementerian untuk tunjukkan tidak akan ada masalah dalam Negeri Sembilan atau negeri-negeri lain dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya.

Iklan
Xavier (tengah) menuang tanah sebagai simbolik perasmian Program Restorasi, Tebus Guna dan Rehabilitasi Melalui Penanaman Pokok di Kolam Tadahan Taman Bandar Botanic hari ini. - Foto Bernama

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas program Restorasi, Tebus Guna dan Rehabilitasi melalui Penanaman Pokok di Kolam Tadahan Taman Bandar Botanik, di sini hari ini.

Semalam, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, tarif air di negeri itu masih kekal pada kadar sama dan tiada sebarang kenaikan bagi tempoh lima tahun ini.

Malah katanya, perkara tersebut sebagaimana terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan.

Iklan

Bagaimanapun Xavier berkata, ada beberapa negeri sudah bersetuju dengan cadangan kenaikan tarif air tersebut dan ia akan dibawa ke Kabinet untuk kelulusan serta diumumkan dalam masa terdekat.

Menurutnya, kementerian juga mengenal pasti negeri-negeri kritikal berikutan kadar simpanan air terawat rendah dan akan terus berbincang dengan negeri-negeri yang masih belum bersedia melaksanakan kenaikan tarif air yang akan dilaksanakan tahun ini.

"Jika kita tidak buat apa-apa dalam tempoh lima tahun, pasti akan ada masalah besar dalam negara dan kementerian akan cuba mengatasi dengan program-program melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang akan datang.

"Saya boleh janji, kalau kerjasama dari negeri dan semua pihak diberikan dalam tempoh lima tahun dari sekarang, isu krisis air akan dapat diatasi, selain merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030," katanya.

Selain itu, Xavier turut mengakui cabaran terbesar dihadapi kementerian adalah untuk mendapatkan bajet mencukupi bagi meningkatkan taraf atau perkhidmatan industri air dalam negara.

Justeru katanya, semua pihak perlu faham dan memberi kerjasama berhubung kenaikan tarif bahawa industri air perlu mewujudkan bajet besar untuk memastikan bekalan air sepanjang tahun kepada pengguna, selain tidak boleh memiliki kadar simpanan air terawat yang rendah di semua negeri.

Sementara itu, mengulas mengenai program hari ini, Xavier memberitahu, kementerian menyasarkan penanaman 100 juta pokok dalam tempoh lima tahun di seluruh negara bagi memelihara dan memulihara khazanah hutan negara.

"Ia juga merupakan usaha kementerian untuk melaksanakan kempen berterusan bagi menyemai sikap tanggungjawab dan cintakan alam sekitar selain mempromosikan pokok kebangsaan iaitu pokok merbau dan pokok-pokok spesies hutan kepada masyarakat awam," katanya.