KUALA TERENGGANU - Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir diingatkan agar tidak bertindak biadab dan gelojoh dengan mendesak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan.
Ia susulan kenyataan Ahli Parlimen Johor Bahru itu yang menyarankan agar Sekretariat Pakatan Harapan (PH) memastikan Mesyuarat Majlis Presiden akan datang membuat ketetapan tarikh peralihan Perdana Menteri pada Mei 2020 bagi menjamin kelangsungan agenda Pakatan Harapan.
Ketua Armada Bersatu Terengganu, Syaiful Irfan Anang juga mengingatkan agar Akmal tidak menonjolkan sifat peribadi dengan melangkaui keutamaan.
"Dia seharusnya menjadi pemimpin yang patut dicontohi dengan sifat terpuji sebagai wakil rakyat yang dipilih. Utamakan perkara yang lebih penting dan suarakannya sebagai wakil rakyat Johor Bahru.
"Beri kenyataan sebagai Ketua AMK, beliau juga menunjukkan sikap sebenarnya yang mengutamakan isu tarikh peralihan jawatan perdana menteri sebagai satu perkara paling besar berbanding mengutamakan khidmat dan komitmen yang telah dijanjikan untuk memulih dan membina semula negara," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: AMK minta tetapkan tarikh peralihan jawatan PM
Syaiful Irfan turut mengingatkan agar Akmal sedar dan akur bahawa PH terbentuk dengan gabungan empat parti yang amat memerlukan di antara satu sama lain di kala kekuatan mereka sedang diuji dan teruji.
Katanya, kenyataan yang dikeluarkan Akmal amat mendukacitakan sebagai seorang ketua pemuda yang mewakili suara pemuda PKR yang lain.
"Saya khuatir bahawa sesuatu keputusan untuk membawa suara pemuda dengan kenyataan yang berat sebegini tidak dibincangkan terlebih dahulu.
"Marilah kita semua lebih bertenang di dalam isu peralihan kuasa yang tidak sepatutnya timbul di kalangan pemuda, kita perlu bersatu hati bekerja dan berkhidmat demi nusa dan bangsa. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga," katanya.