Semangat pasukan era 70-an kembali dalam Harimau Malaya - Dollah Salleh

Iklan
Dollah Salleh

"SEOLAH-OLAH menyaksikan kembali semangat Harimau Malaya pada zaman 70-an."

Demikian reaksi legenda bola sepak negara, Datuk Dollah Salleh yang mengakui kagum melihat persembahan memukau anak buah Kim Pan Gon yang berjaya mengikat gergasi bola sepak Asia, Korea Selatan 3-3 pada aksi terakhir Kumpulan E, Piala Asia 2023 di Stadium Al Janoub, Doha, Qatar pada Khamis.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, aksi yang diperagakan Harimau Malaya juga telah membawanya mengimbau kembali ke zaman kegemilangan bola sepak tanah air pada 1970-an yang dibarisi legenda Allahyarham Mokhtar Dahari, mendiang R Arumugam dan Datuk Soh Chin Aun.

"Saya terpegun melihat cara mereka (anak buah Pan Gon) bermain... semangat mereka buat saya tergamam, (dan) kalau boleh saya pun nak berada di stadium.

Iklan

Nampak macam semangat pasukan era 1970-an sudah kembali.

"Alhamdulillah pasukan dapat tunjukkan prestasi yang cemerlang lawan Korea Selatan dan semua rakyat Malaysia terhibur dengan corak permainan dan semangat mereka, saya salute (sanjung)," katanya kepada Bernama.

Iklan

Justeru, bekas pengendali skuad negara itu berkata, tidak mustahil Malaysia mampu melakar kejutan dalam Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 sekiranya mereka terus mengekalkan momentum ketika ini.

"Memang terbaik, walaupun kita terkeluar (daripada saingan), hampir-hampir juga kita buat kejutan.

Bukan semasa lawan Korea Selatan sahaja, sebenarnya saya dah nampak waktu perlawanan menentang Bahrain lagi," katanya.

Pengurus Pasukan Sri Pahang itu pada masa sama turut memuji kerja keras dilakukan rangkaian penyerang negara iaitu Darren Lok, Mohamad Faisal Abdul Halim dan Arif Aiman Mohd Hanapi yang berupaya mengucar-ngacirkan barisan pertahanan lawan bimbingan bekas bintang Jerman, Jurgen Klinsmann.

Dalam pada itu, Dollah berpendapat, sukar untuk menilai persembahan pemain naturalisasi khususnya mereka yang berusia 30 tahun ke atas sama ada masih layak menyarung jersi Harimau Malaya atau sebaliknya pada masa depan.

Beliau berkata, skuad kebangsaan, bagaimanapun masih menagih khidmat mereka bagi mengimbangi kekuatan pemain tempatan.

"Semasa saya jadi jurulatih Malaysia, saya sarankan kalau kita nak pergi jauh dalam arena bola sepak, kita perlu gunakan khidmat pemain naturalisasi tetapi jangan (sampai) kita lupa bakat pemain tempatan," katanya.

Pada 16 November lepas, Harimau Malaya menewaskan Kyrgyzstan 4-3 di Stadium Nasional, Bukit Jalil dalam perlawanan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 diikuti menang tipis 1-0 menentang Taiwan di Stadium Perbandaran Taipei.

Sementara itu, pemerhati bola sepak Mohd Sadek Mustafa berpandangan, kematangan pemain negara dalam mengurus dan menyerap tekanan pada aksi terakhir kumpulan E menentang Korea Selatan itu menjadi 'kunci' untuk skuad beraksi lebih cemerlang berbanding dua perlawanan sebelumnya.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor itu berkata, perkembangan positif berkenaan dapat dilihat menerusi persembahan yang ditampilkan pemain tengah Faisal Halim yang masih mampu menampilkan jaringan kreatif untuk jaringan pertama Harimau Malaya.

"Kebolehan Faisal Halim telah mengubah karakter Malaysia dan ia merupakan kematangan besar. Pada usia begini, dia telah menunjukkan kepimpinan yang baik dan dia boleh mengubah keputusan perlawanan walaupun bertubuh kecil," katanya.

Harimau Malaya menamatkan kempen saingan Piala Asia 2023 dengan mencipta sensasi mengikat Korea Selatan 3-3, pada perlawanan terakhir Kumpulan E.

Walaupun seri, hasrat Malaysia untuk mencipta sejarah layak ke pusingan 16 terbaik Piala Asia 2023 tidak kesampaian selepas tewas dalam dua aksi pertama Kumpulan E, masing-masing 0-4 di tangan Jordan dan 0-1 kepada Bahrain, sekali gus menduduki tempat terakhir dengan mengumpul satu mata. - Bernama