CAMERON HIGHLANDS - Lokasi runtuhan di Batu 59, Blue Valley di sini dipenuhi dengan pokok besar yang tumbang bersama kegelongsoran tanah.
Perkara itu dimaklumkan Komander operasi mencari dan menyelamat, Wan Zaidi Wan Mokhtar dari Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands yang mengetuai pasukan awal ke lokasi kejadian.
Beliau berkata, pasukan pertama yang disertai enam anggota itu mula memasuki lokasi kejadian pada jam 3.24 pagi.
Menurutnya, keadaan di tempat runtuhan ketika itu hanya dipenuhi dengan timbunan pokok dan tanah selut menyebabkan sedikit kesukaran mengesan kedudukan mangsa.
"Semasa pemerhatian dijalankan, kita temui satu aliran air dari kawasan atas ke satu tempat yang kita syaki tapak rumah mangsa.
"Nampak ada takungan air di situ dan daripada penemuan itulah kita mulakan kerja-kerja mencari mangsa yang tertimbus," katanya kepada pemberita pada Sabtu.
Wan Zaidi, 52, berkata, operasi mencari dilakukan dengan kaedah manual menggunakan peralatan seperti cangkul dan penyodok secara perlahan-lahan kerana takut akan mencederakan anggota badan mangsa.
Katanya, kerja-kerja mengorek tanah yang dilakukan selama hampir dua jam akhirnya berjaya menemui satu mangsa pada jarak kira-kira dua meter dari tapak rumah.
"Mangsa ditemui tersepit di celah-celah batang pokok. Keadaan mangsa masih sempurna dan lengkap berpakaian, cuma berselut dan alami kecederaan parah di bahagian kepala," katanya.
Wan Zaidi yang telah menganggotai pasukan bomba sejak 32 tahun lalu berkata, maklumat saksi kejadian yang merupakan rakan kerja mangsa turut membantu gerak kerja dilakukan di tempat kejadian.
Ujarnya, mereka yang tinggal sekitar 50 meter dari lokasi tapak runtuhan ada mendengar dentuman kuat disertai bunyi pergerakan tanah dan pokok patah sebelum menyedari dua rumah di kawasan itu lenyap dibawah runtuhan.
"Pertama sekali runtuhan tanah ini tidak mengheret, ia terus menghempap dua rumah didiami mangsa.
"Berdasarkan jangkaan itu, kemungkinan semua mangsa tidak pergi jauh dan berada di sekitar kawasan runtuhan ini sahaja," katanya.
Bomba menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada jam 2.51 pagi.
Ketika kejadian semua mangsa yang dikenali Haphey, 36, isterinya, Om Myue, 38, bapa, Shing Lan Har, 56, serta dua rakan kerja lain, Shing Aung, 39, dan Thang Moung, 25, sedang tidur.
Difahamkan, sebelum kejadian hujan lebat dan berterusan melanda kawasan berkenaan sejak Rabu.
Operasi mencari dan menyelamat yang digerakkan pada Jumaat berjaya menemui dua mangsa iaitu Haphey dan seorang lagi yang belum dikenalpasti identiti sementara tiga lagi masih tertimbus.