KLANG - Polis menggempur sembilan pusat hiburan dan KTV di sekitar daerah ini, pada Jumaat.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, Op Khas Aman 1/2024 (Noda) bermula jam 11.30 malam itu bertindak menahan 43 individu termasuk 13 warga tempatan.
Katanya, mengikut pecahan, tangkapan terdiri daripada empat pengurus, lapan penjaga kaunter, seorang 'kapten', pekerja (8) serta 22 disyaki gadis pelayan pelanggan (GRO).
"Pelbagai barang telah dirampas antaranya wang tunai RM3,625, peralatan audio, resit jualan dan minuman keras," katanya pada Sabtu.
Beliau berkata, polis turut menjalankan pemeriksaan tatu dan orang yang dikehendaki (wanted person) terhadap pelanggan pusat hiburan, bouncer dan pekerja.
Katanya, namun tiada terkesan apa-apa kesalahan di bawah Akta Pertubuhan 1966 dan tiada rekod orang yang dikehendaki.
"Operasi ini telah mengambil tindakan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 serta Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Selangor 1995," ujarnya.
Tambahnya, operasi ini berjalan lancar tanpa sebarang insiden tidak diingini berlaku.