SHAH ALAM - Tindakan ke arah penyasaran semula subsidi yang sedang diusahakan sekarang bukanlah bermakna kerajaan bersifat anti-subsidi dan anti-orang miskin.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, penyasaran semula mahu dilakukan kerajaan supaya subsidi dapat sampai kepada rakyat yang benar-benar memerlukan.
Tegasnya, langkah itu perlu dilakukan kerana jika tidak perbelanjaan rakyat yang lain akan dikekang dengan keadaan fiskal negara.
"Apabila jumlah tanggungan subsidi melangkaui RM80 bilion setahun dan kita tahu banyak ketirisan berlaku (orang kaya mendapat lebih banyak manfaat, bukan warganegara turut sama mendapat subsidi), ia perlu distrukturkan semula,” katanya dalam satu hantaran di aplikasi X.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Oktober lalu dilaporkan berkata, penyelarasan subsidi yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 bukan bertujuan membebankan rakyat.
Beliau memberitahu, sebaliknya ia bagi memastikan kerajaan tidak membazirkan wang rakyat dengan menyenangkan lagi golongan yang mampu.
Justeru, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan mengakui tidak terkejut seandainya selepas ini serangan terbaharu pembangkang ialah mengenai penyasaran semula subsidi.
"Kan bagus kalau bagi wang kepada semua dan gunakan duit cukai rakyat untuk tetapkan harga barang serendah mungkin? Kita sebenarnya dah terlepas kapal,” tambah beliau.
Mengulas lanjut, Rafizi menjelaskan, semasa polemik turunkan harga RON95 antara 2007 ke 2015, situasinya berbeza.
Menurutnya, ketika itu tanggungan subsidi negara masih rendah berbanding pendapatan keseluruhan kerajaan.
"Jadi isunya adakah lebih baik sejumlah beberapa bilion digunakan untuk rakyat terbanyak dan bukannya untuk projek-projek mega.
"Bahkan antara tahun 2014 hingga 2018, ada ketikanya rakyat membayar harga RON95 yang lebih tinggi dari pengiraan harga pasaran. Maknanya, ada elemen cukai yang dikutip secara senyap-senyap. Keadaannya juga cukup berbeza sekarang,” ujarnya.
Kata Rafizi, perkara itu turut diulas beliau apabila ‘dibakar’ oleh Pakar Ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai menerusi podcast Yang Bakar Menteri.