AMPANG - Perbuatan biadap kumpulan penunggang motosikal yang mengubah suai guna ekzos 'perang' dengan membuat bising di kawasan Taman Tasik Permai dekat sini mengundang padah selepas ditahan polis pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, operasi itu dijalankan pada jam 12.05 tengah malam oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.
Iklan
Iklan
Menurutnya, Op Motosikal itu bertindak menyita tujuh motosikal jenis Yamaha Lagenda, Yamaha LC, Modenas Kriss serta Honda EX5 untuk tindakan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 6(4) akta yang sama.
"Dalam operasi ini juga kita telah memeriksa 43 individu selain mengeluarkan 31 saman," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya, operasi ini berikutan aduan penduduk di kawasan berkenaan mengenai tindakan segelintir golongan remaja yang menunggang motosikal dalam keadaan yang merbahaya serta membuat bunyi bising terutama pada awal pagi.
Jelasnya, orang awam diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya yang telah ditetapkan.
"Sentiasa memantau dan ambil tahu aktiviti anak-anak setiap hari. Sayangi diri, keluarga dan bertimbang rasa dengan orang sekeliling," ujarnya.