IPOH - Tiga premis yang menjalankan perkhidmatan refleksologi diserbu oleh Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dalam Op Refleksologi di sekitar bandar raya ini baru-baru ini.
Menurut Bahagian Penguatkuasaan JAIPk, operasi yang dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota JAIPk itu bermula jam 6 petang dan selesai pada jam 4 pagi.
Iklan
Iklan
Katanya, dalam serbuan itu, empat lelaki beragama Islam yang dipercayai sedang melanggan khidmat urutan batin dan sembilan wanita dipercayai bekerja sebagai tukang urut ditahan.
"Sebanyak tiga premis berasingan diserbu oleh sepasukan pegawai dan anggota JAIPk dalam Op Refleksologi yang diadakan pada 24 Januari lepas.
"Serbuan itu membabitkan tiga premis, masing-masing di Jalan Mustapha Al Bakri (pekan Ipoh), Jalan Medan Ipoh (berhampiran MH Hotel) dan Bandar Botani," menurut kenyataan dikeluarkan pada Jumaat.
Sehubungan itu, katanya, kesemua mereka ditahan dan dibawa balik ke pejabat untuk tindakan lanjut.
Jelasnya, kes disiasat mengikut kesalahan Khalwat (denda tidak melebihi RM3,000) Seksyen 54 Enakman Jenayah Syariah (1992) dan kesalahan Menggalak Maksiat (denda tidak melebihi RM5,000) di bawah Seksyen 29 enakmen yang sama. - Awani