NILAI - Seorang lelaki warga emas kerugian RM228,000 selepas ditipu pelaburan mata wang digital pada Oktober tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Abdil Malik Hasim berkata, pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian tersebut daripada lelaki berusia 60-an itu pada Jumaat jam 4.35 petang.
"Mangsa menyatakan pada awal Oktober tahun lalu telah dimasukkan ke dalam 'group' telegram dan dipengaruhi untuk menyertai pelaburan matawang digital (kripto) oleh individu yang memperkenalkan diri sebagai Teacher Zhang.
"Dia kemudiannya dijanjikan pulangan lumayan sebelum membuat transaksi pertama berjumlah RM8,000 dan berjaya mendapat keuntungan pelaburan berjumlah RM15,000 yang dimasukkan ke dalam akaun di platform ACCERX Hong Kong tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Ujarnya, mangsa seterusnya dipujuk oleh Teacher Zhang untuk menambah nilai pelaburan sehingga mencecah RM228,000 melalui 13 transaksi kewangan ke sembilan akaun berbeza.
"Bagaimanapun dia menyedari ditipu setelah gagal membuat pengeluaran bagi pelaburan yang dibuat atas alasan akaun mangsa terlibat dengan penggubahan wang haram.
"Susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis (IPD) Nilai telah membuka kertas siasatan dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sedang mengesan suspek terlibat untuk siasatan lanjut," katanya.
Katanya, orang ramai dinasihatkan membuat semakan dengan pihak berkuasa dan Bank Negara Malaysia sebelum menyertai apa-apa skim pelaburan atau skim cepat kaya untuk mengelakkan diri dari menjadi mangsa penipuan.