Peniaga kedai makan terpedaya pelaburan bitcoin lebih RM400,000

Iklan
Mangsa telah membuat pembayaran keseluruhan sebanyak RM413,522 menerusi sembilan akaun yang berlainan. Gambar kecil: Rahmat

ISKANDAR PUTERI - Seorang peniaga kedai makan mengalami kerugian RM413,522 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan bitcoin yang menawarkan pulangan lumayan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, lelaki berusia 56 tahun itu terpedaya dengan pelaburan yang ditawarkan melalui media sosial.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mangsa kemudiannya mendaftar melalui pautan yang disediakan dan bertindak berhubung dengan suspek untuk mendapatkan maklumat lanjut.

"Setelah dua bulan melabur, mangsa mendapati nilai pelaburannya telah bertambah sehingga hampir RM7 juta. Mangsa ingin membuat pengeluaran hasil pelaburan itu namun dimaklumkan perlu membuat bayaran sebanyak RM176,575 sebagai bayaran proses," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Rahmat berkata, mangsa berasa tertipu kerana tidak dapat mengeluarkan wang pelaburan terbabit dan tampil membuat laporan polis terhadap suspek yang dipercayai warga tempatan.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Iklan

"Polis menasihati masyarakat supaya tidak tergesa-gesa dalam mengejar keuntungan luar biasa dalam masa yang singkat.

"Berhati- hati sebelum menekan apa-apa pautan yang dipaparkan di media sosial dan jangan mudah 'gelap mata' dengan tawaran yang diberikan. Keuntungan yang dipaparkan dalam aplikasi 'scammer' hanyalah untuk mengaburi mata mangsa untuk menarik minat menyertai pelaburan tersebut," katanya.