SHAH ALAM - Usahawan yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin menjadi pemilik pertama motosikal berkuasa tinggi, Ducati Streetfighter V4 Lamborghini berharga RM460,900.
Memetik laporan portal Motoqar, Ketua Pegawai Operasi Ducati Malaysia, Dennis Michael berkata, edisi terhad itu dibawa masuk ke negara ini sebanyak dua unit sahaja.
"Ducati Streetfighter V4 Lamborghini bukan sekadar motosikal, ia adalah simbol sejarah yang kaya dan dikongsi bersama antara Ducati dengan Lamborghini.
"Ia juga menunjukkan bahawa pemilik dan peminat Ducati Malaysia adalah yang paling bersemangat di dunia,” katanya.
Ia yang diinspirasikan daripada falsafah reka bentuk Lamborghini Huracan Super Trofeo Omologata (STO) dengan menawarkan liveri yang dicipta khas mencerminkan garisan anggun dan aerodinamik.
Menurut Michael, tiga ciri utama tentang motosikal berkuasa tinggi itu adalah rekaan berinspirasi, enjin dan liveri.
Katanya, ia menerapkan rekaan daripada Huracan STO yang ikonik, rim menampilkan reka bentuk anggun dan diserlahkan dengan nat pengunci titanium pada rim belakang.
"Motosikal ini masih menggunakan enjin Desmosedici Stradale 1,103cc, yang menawarkan keluaran kuasa 208hp dan memanfaatkan pengedaran desmodromik yang berasal dari MotoGP.
"Mengingati Huracan STO, cat dan skema warna yang digunakan pada Streetfighter V4 Lamborghini Edition adalah sama seperti kereta berkenaan,” jelasnya.