BATU PAHAT - Seorang warga emas maut selepas kereta dipandunya terlibat kemalangan dengan tiga kenderaan lain semasa dalam perjalanan untuk bersarapan di Jalan Muar, Parit Yaani, Yong Peng di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kemalangan pada jam 9.20 pagi itu melibatkan Perodua Viva dipandu lelaki warga emas tersebut dengan lori Scania, Perodua Bezza dan sebuah pacuan empat roda Toyota Hilux.
"Hasil siasatan awal dipercayai pemandu Perodua Viva, Shahri Abu, 69, yang bekerja sendiri datang dari arah Yong Peng hendak pergi sarapan berhampiran kawasan kejadian.
"Apabila sampai di tempat kejadian Perodua Viva itu ingin masuk ke sebelah simpang kanan dan kemudian datang Hilux dipandu seorang lelaki warga tempatan, 31, dari arah yang sama terlanggar belakang kereta warga emas tersebut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, pelanggaran itu menyebabkan Perodua Viva berkenaan terbabas masuk ke arah bertentangan.
Pada masa yang sama katanya, lori yang dipandu seorang lelaki tempatan, 23, melanggar Perodua Viva kemudian melanggar pula Perodua Bezza dipandu seorang wanita tempatan yang berada di belakang Hilux.
Ismail memberitahu, kes berkenaan disiasat Inspektor Mohamad Izzam Aziz di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Sekiranya terdapat saksi awam yang melihat kejadian tersebut boleh berhubung dengan pegawai penyiasat memerusi talian 07-4327704," katanya.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Pegawai Bomba Kanan II Badrul Hisyam Loi berkata, sembilan anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
"Kemalangan itu mengakibatkan Perodua Viva terbakar. Mangsa tersepit dan terbakar dalam kereta tersebut. Kebakaran berjaya dipadamkan oleh orang awam sebelum pihak bomba sampai. Kebakaran dianggarkan memusnahkan dua peratus daripada keseluruhan kereta.
"Mangsa kemudian telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir. Mangsa lain yang terlibat dalam kemalangan itu semuanya selamat. Operasi tamat jam 10.02 pagi," katanya.