SEKURANG-KURANGNYA tiga pasukan Liga Super termasuk Kedah Darul Aman (KDA) FC sedang mengadakan rundingan bersama bekas pemain pertahanan Sabah FC, Rizal Ghazali.
Khidmat pertahanan kanan yang berasal dari Baling, Kedah itu menjadi buruan bagi saingan musim 2024/2025 selepas dia mengesahkan tidak lagi bersama Sang Badak.
Rizal mengakui masih dalam proses perbincangan dengan KDA FC dan bersedia untuk mempertimbangkannya jika ada tawaran kerana mahu kembali beraksi di negeri kelahiran sendiri.
"Untuk Kedah saya masih menunggu keputusan yang akan dibuat pihak pengurusan selepas mengadakan perbincangan sebelum ini.
"Jika sudah rezeki saya ada di mana-mana pasukan lain selain Kedah pun saya tetap terima," katanya.
Pemain berusia 31 tahun ini juga berazam untuk terus meningkatkan lagi prestasinya bersama pasukan baharunya pada musim baharu ini.
Menurutnya, selain KDA FC, dia juga menerima pertanyaan dari dua lagi pasukan Liga Super yang turut menyatakan minat untuk mendapatkan khidmatnya.
"Sebagai pemain, saya faham kerana Liga Super hanya akan bermula pada bulan Mei dan masih ada masa lagi buat mana-mana pasukan bagi melakukan persiapan rapi berkaitan kontrak yang diperlukan," katanya.