Sistem PADU bantu Orang Asli elak tercicir nikmati inisiatif kerajaan

Iklan
Gambar hiasan.

GUA MUSANG - Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) membolehkan masyarakat Orang Asli tidak tercicir daripada menerima bantuan yang disediakan kerajaan pada tahun ini.

Along Angah, 33, dari suku kaum Temiar yang tinggal di Pos Belatim berkata, dia sanggup menunggang motosikal untuk hadir di kaunter PADU pada Program Jelajah eKasih@Galas di Dewan Kompleks Serbaguna Majlis Daerah Gua Musang hari ini yang menyaksikan penglibatan hampir 30 agensi kerajaan.

Iklan
Iklan

Dia dan keluarganya sedia maklum mengenai manfaat PADU yang bertujuan memberi bantuan bersasar serta sanggup menempuh perjalanan sejauh hampir 80 kilometer.

"Saya mendapat maklumat bahawa kaunter PADU dibuka di sini bermula semalam, jadi saya datang ke sini untuk mendaftar bersama adik kerana proses menjadi lebih mudah kerana kami tidak tahu melayari laman sesawang untuk mendaftar sendiri.

Iklan

"Kita tidak mahu ketinggalan mendaftar kerana kita tahu menerusi PADU, kita mudah mendapat bantuan kerana semua data dikemas kini ke dalam sistem,” katanya kepada pemberita di padang Dewan Kompleks itu.

Bagi Peter Along, 36, Orang Asli dari Kampung Podek, Rancangan Pengumpulan Semula Kuala Betis, dia dan beberapa rakan sekampung tidak mahu melepaskan peluang untuk mendaftar di kaunter yang dibuka seawal 9 pagi hingga 5 petang.

"Pendaftaran sangat mudah dan cepat kerana dibantu petugas jabatan berkenaan malah kami sudah membawa dokumen pengenalan diri serta ahli keluarga untuk mengisi maklumat ke dalam sistem,” katanya.

Iklan

Dua beradik Orang Asli iaitu Yusa Ramli, 34, dan Sarohin Ramli, 27, juga tidak ketinggalan mengemas kini profil mereka di reruai Jabatan Perangkaan Negeri hari ini.

Yusa berkata, sebelum ini dia menerima Sumbangan Tunai Rahmah pada 2023 dan ingin menikmati pelbagai inisiatif lain menerusi PADU.

Sarohin pula berkata kaunter pendaftaran PADU yang dibuka selama dua hari itu membantu masyarakat Orang Asli yang berdepan masalah buta huruf dan tidak celik teknologi.

"Kita harap kaunter PADU akan dapat dibuka juga di kawasan pedalaman seperti Pos Gob dan Pos Simpor kerana tidak semua penduduk mempunyai kenderaan untuk ke sini terutama apabila jalan balak rosak." katanya. - Bernama