Dua jasad terakhir ditemui, kelima-lima mangsa disahkan maut

Iklan
Operasi membawa keluar mangsa keempat yang ditemui pada jam 6.10 petang Sabtu. Gambar kecil: Azri Ramli

CAMERON HIGHLANDS - Jasad mangsa keempat dan kelima tragedi runtuhan tanah di Batu 59, Blue Valley dekat sini telah dijumpai petang Sabtu.

Penemuan itu menjadikan kesemua lima mangsa merupakan pekerja kebun sayur warga Myanmar yang tertimbus dalam kejadian itu disahkan meninggal dunia.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintenden Azri Ramli berkata, kedua-dua mangsa ditemui di kedudukan antara sektor C dan D dengan jarak lima meter antara satu sama lain.

"Mangsa keempat dikenal pasti sebagai Shing Law Har, 56, dijumpai pasukan mencari dan menyelamat pada jam 6.10 petang disusuli mangsa terakhir seorang wanita, Om Myu, 37, jam 6.50 petang," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di sini pada Sabtu.

Iklan

Hadir sama, Pegawai Daerah Cameron Highlands, Syed Ahmad Khirulanwar Al-Yahya Syed Abdul Rahman dan Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Md Gezani Md Ghazi.

Operasi digerakkan pada sebelah pagi berjaya menemui mangsa ketiga pada jam 12.15 tengah hari.

Iklan

Mayat Thang Moung, 25, itu dijumpai di sektor D pada kedalaman 1.5 meter tidak jauh dari lokasi penemuan mangsa pertama.

Mangsa keempat yang dikenal pasti sebagai Shing Law Har dijumpai pada jam 6.10 petang disusuli mangsa terakhir Om Myu 40 minit selepas itu.

Pada Jumaat, operasi mencari dan menyelamat yang digerakkan berjaya menemui dua mangsa dikenalpasti sebagai Law Ha Phey, 36, di sektor C dan Ki Shing Om, 48, di sektor B.

Sementara itu, Azri turut mengesahkan, tiada mangsa lain terlibat dalam kejadian runtuhan terbabit.

Beliau berkata, kematian dan identiti semua lima mangsa itu telah dimaklumkan kepada pihak Kedutaan Myanmar.

Katanya, proses bedah siasat semua mangsa akan dijalankan di Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di Tanah Rata untuk tindakan selanjutnya.

"Dengan penemuan semua mangsa ini, operasi mencari dan menyelamat dihentikan dan PKTK ditutup pada jam 9 malam," katanya.

Seramai 220 anggota daripada 17 agensi telah menyertai operasi mencari dan menyelamat yang digerakkan sejak semalam.

Operasi turut dibantu khidmat dua Anjing Pengesan (K9), Frankie dan Pop.

Kejadian itu telah dilaporkan kepada polis pada jam 2.10 pagi membabitkan dua rumah pekerja didiami lima warga Myanmar pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Difahamkan, ketika kejadian semua mangsa sedang tidur dan hanya disedari rakan sekerja yang tinggal di rumah pekerja berhampiran selepas mendengar bunyi dentuman kuat.

Tiga daripada mangsa mempunyai pertalian kekeluargaan sebagai suami isteri dan bapa sementara dua lagi merupakan rakan sekerja.