ARYNA Sabalenka menampilkan persembahan dominan untuk menjadi wanita pertama dalam 11 tahun mengekalkan gelaran Terbuka Australia sekali gus memberikan amaran kepada pesaingnya dengan gelaran Grand Slam keduanya pada Sabtu.
Pemain Belarusia itu menewaskan Zheng Qinwen 6-3 6-2 dalam masa 76 minit dengan persembahan kuasa bertenaga menewaskan pilihan ke-12 dari China itu, mencontohi pencapaian rakan senegara Victoria Azarenka pada 2012-13 dengan memenangi Piala Memorial Daphne Akhurst berturut-turut.
Sabalenka hadir dalam kejuaraan tanpa kehilangan satu set pada kejohanan utama pertama tahun ini kekal sempurna untuk menyertai Ash Barty, Serena Williams, Maria Sharapova dan Lindsay Davenport dalam kelab elit pemain yang melakukannya pada abad ini.
"Saya buntu sekarang. Saya tidak tahu bagaimana untuk menggambarkan emosi saya.
"Tetapi yang pasti saya sangat, sangat gembira dan bangga dengan segala yang dapat capai setakat ini.
"Ya, hanya gembira dengan tahap yang saya mainkan hari ini. Dia pemain yang hebat dan lawan yang sangat sukar," kata Sabalenka pada sidang akhbarnya.
Sabalenka hanya tercicir satu set pada kejohanan tahun lalu dan penguasaannya tahun ini mencerminkan kematangan dan kawalan emosi yang telah dibinanya sejak 12 bulan lalu.
"Saya tidak mahu menjadi pemain yang memenanginya dan hilang.
"Saya mahu menunjukkan mampu berada di sana secara konsisten dan mampu memenangi satu lagi.
"Sebab itu tidak kira apa keputusan, menang atau kalah, kami sentiasa bekerja keras, sentiasa mencari perkara untuk diperbaiki dalam permainan,” kata Sabalenka.
Prestasi hebat Sabalenka membantunya mencapai sekurang-kurangnya separuh akhir pada enam kejohanan utama terakhir termasuk di Wimbledon tahun lalu, setelah terlepas acara 2022 di Kelab All England kerana pemain Rusia dan Belarusia dikenakan larangan.
Seperti tahun lalu, trofi itu tidak menyebut dari mana asal Sabalenka kerana dia bertanding tanpa sekutu kebangsaan di bawah syarat yang dikenakan ke atas pemain Rusia dan Belarus dalam tenis sejak pencerobohan Rusia pada 2022 di Ukraine.