MELAKA tetap berdepan laluan sukar biarpun diletakkan sebagai status pasukan pilihan pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Emas Khir Johari ke-57.
Jurulatihnya, Khairul Anuar Ibrahim berkata, pasukan tersebut yang diperkuatkan dengan kehadiran enam pemain kebangsaan diuji seawal peringkat kumpulan lagi apabila diundi bersama Perak, Terengganu, Negeri Sembilan termasuk finalis, Pulau Pinang.
Menurutnya, kejayaan menjulang piala tertua tersebut di negara ini selepas menanti 39 tahun adalah sebagai kenangan paling manis kepada pemain dan peminat sepak takraw Melaka.
"Jadi kemenangan ini bukanlah cukup mudah, semua pasukan yang sertai kejohanan ini adalah pasukan yang terbaik, tapi Alhamdulillah, Melaka berjaya juga menang," katanya.
Melaka muncul juara selepas menewaskan Pulau Pinang 2-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar pada Sabtu.
Sementara itu, pengendali Pulau Pinang, Muhamad Faizal Zainal Abidin pula mengakui akur dengan kekalahan kepada Melaka yang dibarisi ramai pemain berkaliber dan berpengalaman mewakili pasukan kebangsaan.
Jelasnya, pasukan itu tetap berbangga dengan bakat-bakat mudanya yang berjaya mara sehingga muncul dua pasukan terbaik kejohanan.
"Pemain kami kebanyakan muka baharu dan masih muda. Tapi saya sendiri bangga dengan persembahan ditampilkan mereka dalam kejohanan ini," katanya.
"Tumpuan skuad kini adalah untuk meningkatkan lagi prestasi pemain sebagai persiapan menghadapi pertandingan lain," katanya.
Dalam penentuan tempat ketiga dan keempat pula, ATM menewaskan Kuala Lumpur 2-0 dalam kejohanan disertai 18 pasukan yang bermula 22 Januari lalu.