IPOH - Bukan sahaja artis, kini pemain bola sepak pula menggunakan pengaruhnya bagi mengajak peminat serta penyokong untuk mencetuskan fenomena kempen 'Solat Subuh Macam Jumaat'.
Pemain sensasi Perak FC, Wan Zack Haikal berkolaborasi dengan jawatankuasa Surau Raja Hairani, Taman Meru Perdana 2 di sini bagi mencetuskan program Geng Subuh Macam Jumaat pada Ahad.
Menurut Wan Zack, program berkenaan merupakan pertama seumpamanya yang pernah disertai melibatkan komuniti setempat serta peminat bola sepak.
Jelasnya, menyertai program seperti itu sesuatu yang membanggakan kerana mengajak orang ramai melakukan kebaikan untuk agama.
"Kita mengajak orang buat baik tak perlu meniru sesiapa. Apabila dipanggil menyertai program seperti ini, saya amat bangga sebab bukan senang orang nak jemput kita untuk ajak orang solat Subuh berjemaah di surau.
"Bagi saya ini merupakan satu program yang baik dan perlu diikuti orang lain sebab kita mengajak orang buat kebaikan dan seperti yang diketahui solat Subuh berjemaah itu perbuatan amat baik," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Surau Raja Hairani, Taman Meru Perdana di sini pada Ahad.
Wan Zack dalam pada itu turut berharap agar rakan-rakan pemain bola sepak atau atlet sukan yang mempunyai ramai pengikut untuk mengajak peminat mereka melakukan program bermanfaat seperti solat Subuh berjemaah di masjid atau surau.
Sementara itu, Pengerusi Surau Raja Hairani, Ariffin Shariff berkata, sambutan diterima amat baik apabila lebih 400 jemaah hadir menunaikan solat Subuh di surau berkenaan.
"Sebenarnya Wan Zack merupakan ahli kariah kami dan Alhamdulillah beliau setuju untuk berkolaborasi dengan kami di surau ini. Ini merupakan satu petanda yang baik kerana kehadiran ikon sukan sepertinya dapat menarik ramai remaja dan anak muda ke surau menunaikan solat Subuh.
"Biarpun ini program pertama kali diadakan malah surau pertama di kawasan Meru Raya ini mengadakan program sedemikian, sambutan daripada ahli kariah amat baik. Kejayaan program ini tidak akan terhenti di sini dan kita akan teruskan dengan program-program yang lain," katanya.
Dalam pada itu, program tersebut turut dimeriahkan dengan aktiviti berjalan bersama-sama jemaah yang hadir dengan disertai Wan Zack Haikal selain sarapan turut disediakan.