DUNGUN - Seorang wanita warga emas yang menghidap kanser prostat diselamatkan selepas kediamannya di Kampung Lintang, di sini ditenggelami air banjir pada Sabtu.
Pegawai Memerintah Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (Para), Leftenan Kolonel Mohd Zaki Jusoh berkata, pihaknya telah menggunakan aset kenderaan tujuh tan bagi membawa keluar mangsa yang terperangkap akibat bencana tersebut.
Beliau menambah, operasi menyelamat itu melibatkan dua pegawai dan 25 anggota lain-lain pangkat yang telah diatur gerak bagi melaksanakan Operasi Murni di Dungun.
Menurutnya, ia bertujuan memberikan bantuan kepada mangsa terjejas akibat banjir gelombang keempat melanda kawasan berkenaan.
"Semasa melaksanakan operasi ini, mangsa warga emas yang mengidap kanser prostat telah terperangkap akibat laluan utama di Kampung Lintang telah dinaiki air dan tidak boleh dilalui oleh kenderaan ringan termasuk ambulans.
"Jadi kita telah mengatur gerak aset kenderaan tujuh tan bagi membawa keluar warga emas tersebut ke jalan utama sebelum dibawa oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke Hospital Dungun," katanya dalam kenyaatan di sini.
Mengulas lanjut, Mohd Zaki berkata, warga emas yang mengalami masalah kesihatan itu juga diminta untuk menerima rawatan lanjut di hospital susulan hilang selera makan sejak sebulan lalu.
Dalam pada itu, Mohd Zaki menyatakan, First Responder Batalion Ke-18 RAMD (Para) kini giat menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Dungun sepanjang hari sejak gelombang keempat melanda Terengganu pada Rabu lepas.
Jumlah mangsa banjir di Terengganu bertambah kepada 1,378 mangsa daripada 400 keluarga dipindahkan ke-14 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Dungun di negeri ini setakat jam 8 pagi Ahad.
Jumlah itu meningkat berbanding 1,300 orang daripada 3,86 keluarga seperti yang direkodkan pada 8 malam Sabtu.