Orang Asli buat laporan polis tanaman dimusnah gajah

Iklan
Penduduk Orang Asli melibatkan beberapa kampung membuat laporan polis berikutan tanaman mereka di Pos Simpor berulang kali dirosakkan dua gajah liar sejak tahun lepas.Gambar hiasan

GUA MUSANG - Penduduk Orang Asli melibatkan beberapa kampung membuat laporan polis berikutan tanaman mereka di Pos Simpor berulang kali dirosakkan dua gajah liar sejak tahun lepas.

Mereka mendakwa kejadian itu menyebabkan sumber makanan penduduk di Kampung Jader Lama, Kampung Ceranok, Kampung Dandut, Kampung Keledang dan Kampung Sedal terjejas.

Iklan
Iklan

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pos Simpor, Dendi Johari berkata, mereka turut kerugian hingga kira-kira RM60,000 dalam tempoh setahun akibat serangan haiwan liar terbabit.

"Aduan telah beberapa kali dikemukakan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) tetapi sehingga kini masih tiada jalan penyelesaian.

Iklan

"Kami juga semakin tertekan kerana sumber makanan utama seperti padi bukit, ubi kayu, sayur dan pisang yang diusahakan musnah angkara gajah liar, menyebabkan kami membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Pekebun, Cubis Chele, 29, dari Kampung Jader berkata, dia turut menyertai membuat laporan polis selepas kawasan padi bukit seluas 1.2 hektar miliknya diceroboh gajah liar Jumaat lepas.

Iklan

"Ada penduduk yang berputus asa untuk mengusahakan kebun kerana kecewa tidak dapat menikmati hasil, malah saya sendiri terpaksa menanggung kerugian berjumlah RM6,000.

"Semua tindakan kawalan yang dijalankan pihak berwajib juga belum menunjukkan sebarang hasil,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo mengesahkan, pihaknya menerima 23 laporan berkaitan ancaman gajah liar daripada pengadu Orang Asli pada 8 dan 22 Januari serta semalam (27 Januari).- Bernama