GUA MUSANG - Remaja Orang Asli Bateq di Kampung Kuala Koh di sini, hampir buta tanpa diketahui punca sejak enam bulan lalu.
Kedua-dua penglihatan Rania Rahim, 16, bukan sahaja kabur, malah selaput mata hitamnya juga menjadi putih.
Menurut Rania, matanya mula kabur selepas wabak yang melanda penduduk kampung dan ahli keluarganya pada Mei tahun lalu.
"Dalam kejadian wabak enam bulan lalu, kakak (Farah Rahim, 20) dan abang saya (Haika Rahim, 22) meninggal dunia. Selepas mereka meninggal, saya pula menderita penyakit melibatkan mata.
"Saya tak pernah mendapatkan rawatan dari mana-mana hospital dan hanya berada di rumah saja. Saya ingat hanya sakit biasa namun ia makin merebak sehingga menjejaskan penglihatan," katanya.
Sementara itu, Presiden Sahabat Jariah Malaysia, Johan Halid berkata, Rania dibawa ke Hospital Orang Asli Gombak untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut.
"Hasil pemeriksaan mendapati Rania disahkan menghidap bilateral corneal ulcer TRO dan dirujuk ke Jabatan Oftalmologi di Hospital Kuala Lumpur.
"Proses pembedahan dan perubatan mata Rania bagi menggantikan kanta artificial menelan kos sebanyak RM1,800 dan sekiranya tiada agensi mahupun badan-badan yang mahu menanggung kos terbabit, kami akan bantu sedayanya," katanya.