Silat di Masjid Nabawi: Jemaah dinasihat perbetul niat ke Tanah Suci

Iklan
Tindakan tiga sekeluarga berbaju Melayu dan bertanjak membuat pertunjukan silat di Masjid Nabawi, Madinah dianggap janggal dan hanya memberikan imej buruk kepada jemaah Malaysia lain.

PUTRAJAYA - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menasihati individu atau jemaah supaya membetulkan niat ketika mengunjungi Tanah Suci dengan niat semata-mata untuk beribadah.

Beliau berkata, niat selain tujuan ibadat itu dikhuatiri bukan sahaja berpotensi menjejaskan ibadah, tetapi juga boleh mencalar nama baik negara.

Iklan
Iklan

"Sebab itu, saya kata bila niat untuk tujuan ibadah, saya bimbang kalau ada niat yang lain, nak buat pertunjukan silat dan sebagainya, ia akan ‘ganggu’ kita daripada niat asal untuk melakukan ibadah. Ia dibimbangi menjejaskan nama baik negara.

"Nasihat saya kepada mereka yang nak kunjungi atau ziarah ke Masjidil Haram atau Masjid Nabawi, perbetulkan niat masing-masing, kita tumpukan ibadah,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan pelepasan peserta acara larian sempena program Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Run 2024-Powered by Pusat Pungutan Zakat (PPZ) di sini pada Ahad.

Iklan

Beliau berkata demikian sebagai mengulas satu video tular membabitkan seorang lelaki bersama dua kanak-kanak lelaki bersilat di hadapan Masjid Nabawi dengan lengkap berpakaian tradisi Melayu.

Perbuatan berkenaan mengundang pelbagai reaksi daripada warga maya yang mengatakan sebagai tidak wajar dan tidak beradab selain menjejaskan nama Malaysia.

Iklan

Mohd Na’im bagaimanapun berkata, beliau tidak melihat kejadian itu boleh menjejaskan jumlah kuota haji yang telah diberikan kerajaan Arab Saudi kepada Malaysia.

Kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota jemaah haji Malaysia bagi musim haji tahun ini adalah sebanyak 31,600 orang jemaah.

Mengenai proses pemutihan bantuan zakat bulanan, Mohd Na’im berkata data MAIWP sedia ada akan diintegrasikan dengan Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) bagi memastikan bantuan hanya disalurkan kepada individu layak. - Bernama