KUALA LUMPUR - Rancangan kerajaan untuk melaksanakan skim pencen caruman tertakrif bagi pengambilan penjawat awam baharu dan bukannya skim pencen manfaat tertakrif akan meletakkan kewangan awam negara pada kedudukan mampan jangka panjang, kata pakar ekonomi.
Skim caruman tertakrif merupakan skim yang diambil oleh kebanyakan pekerja rakyat Malaysia (contohnya skim caruman KWSP), dengan skim ini menetapkan caruman yang perlu dibuat oleh majikan dan pekerja untuk akaun simpanan persaraan setiap pekerja.
Skim manfaat tertakrif (contohnya Skim Pencen Penjawat Awam) pula menetapkan jumlah pencen persaraan yang akan diterima oleh seseorang pekerja berdasarkan purata atau gaji akhir yang diterima serta majikan membiayai bayaran pencen sepenuhnya.
Pakar ekonomi di Universiti Sunway, Prof Dr Yeah Kim Leng berpendapat, keputusan itu merupakan langkah penting untuk mengurangkan liabiliti pencen yang semakin meningkat.
"Langkah itu bukan sahaja akan mengurangkan kerentanan fiskal utama daripada perspektif negara malah juga menyediakan mobiliti dan fleksibiliti yang lebih besar kepada penjawat awam dan kerajaan untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran ekonomi dan landskap pasaran tenaga kerja yang sedang berubah,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata, impak yang diinginkan daripada peralihan kepada skim caruman itu adalah untuk mengurangkan kadar peningkatan jumlah liabiliti pencen terakru kerajaan.
Kesan serta-merta pula adalah kerajaan perlu menyediakan peruntukan tambahan untuk membayar bahagian Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi penjawat awam baharu, katanya.
"Langkah itu memberikan keupayaan kepada kerajaan untuk menurunkan bahagian yang tidak dibiayai daripada jumlah liabiliti pencen terakru secara beransur-ansur kepada tahap yang mampan, sekali gus mengelakkan sebarang jurang fiskal atau krisis pada masa hadapan.
"Oleh itu, ini merupakan satu langkah strategik untuk menangani liabiliti secara langsung dan tidak menyerahkan masalah itu kepada generasi akan datang,” tambahnya.
Pada Jumaat lepas, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata pada akhir 2023, hutang negara dijangka mencecah RM1.2 trilion atau 63.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dan jika termasuk jaminan dan liabiliti lain, angka itu akan mencecah RM1.5 trilion (melebihi 80 peratus daripada KDNK).
Beliau berkata, melihat dari aspek itu, beban kerajaan adalah cara untuk menjelaskan hutang tersebut dan berdasarkan Belanjawan 2024, bayaran khidmat hutang adalah RM49.8 bilion (16 peratus daripada hasil negara).
Dari segi beban kerajaan bagi perbelanjaan mengurus, 97 peratus daripada perbelanjaan kerajaan adalah perbelanjaan komited dan ruang berubah hanya tiga peratus, katanya.
Amir Hamzah berkata, daripada 97 peratus perbelanjaan komited itu, 16 peratus adalah bagi membayar hutang, 48 peratus bagi emolumen dan pencen, manakala selebihnya untuk pengurusan lain.
"Justeru, tugas kerajaan Madani adalah untuk memperluas hasil kerajaan supaya lebih banyak ruang untuk berbelanja bagi perkara penting agar rakyat dapat kehidupan lebih selesa,” katanya.
Oleh itu, Kim Leng berpandangan liabiliti besar negara dan kerentanan fiskal yang berkaitan sedang ditangani melalui pendekatan sistematik namun secara beransur-ansur dalam pengukuhan dan penstrukturan semula fiskal.
Beliau berkata, mengurangkan risiko fiskal di samping memperkukuh kewangan awam negara, terutama dalam meningkatkan paras hasil, akan membolehkan sasaran Ekonomi Madani dicapai dengan lebih mudah.
"Ini terutama kerana peningkatan keyakinan pelabur terhadap pengurusan fiskal negara akan membawa kepada kitaran pelaburan berulang yang lebih tinggi, penciptaan pekerjaan lebih banyak dan peningkatan pendapatan lebih pantas, seterusnya menarik lebih banyak pelaburan,” katanya. - Bernama