KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan menyiasat penganjuran program 'Foodie Futbol Fest 2024' ekoran turut mendapat tajaan daripada sebuah syarikat yang menjual rokok elektronik (vape).
Timbalan Menterinya, Adam Adli Abdul Halim berkata, kementerian itu mempunyai dasar jelas yang tidak membenarkan mana-mana program belia melibatkan produk rokok atau vape.
"KBS ada dasar jelas untuk tidak benarkan sebarang acara melibatkan produk rokok atau rokok elektronik (vape).
"Perkara ini sedang disiasat," katanya menerusi hantaran di aplikasi X pada Ahad.
Sebelum itu sorang pengamal perubatan dikenali Khairul Hafidz menerusi hantaran di media sosial berkenaan mempersoalkan mengenai kebenaran terhadap syarikat produk vape menaja acara tersebut.
Berdasarkan poster yang dimuat naik, syarikat terbabit menjadi rakan strategik hiburan pada acara yang turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Ahli Majlis Perubatan Malaysia itu berkata, perkara tersebut jelas melanggar Seksyen 9 Akta Kawalan Merokok yang melarang sebarang bentuk promosi atau tajaan produk tembakau dan sebagainya.
"Sampai dua kementerian (KBS dan MOTAC) yang bersama-sama dalam poster (promosi) ini.
"Mohon respon kedua-dua kementerian.
"Adakah menteri tahu mnengenai perkara ini?" soalnya.
Difahamkan, program 'Foodie Futbol Fest 2024' yang berlangsung di Cyberjaya sejak Jumaat lalu menyediakan pelbagai aktiviti sukan termasuk kejohanan bola sepak dan futsal piala Menteri Besar Selangor.