PASIR PUTEH - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menegaskan bahawa hasil siasatan menjadi penentu kepada setiap hukuman yang akan dikenakan berkait isu kartel beras.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, sesiapa pun boleh membuat tuduhan namun siasatan tersebut penting untuk melihat sama ada dakwaan yang dibuat itu benar atau sebaliknya.
"Dalam isu kartel ini, kalau ada laporan...kita akan ambil tindakan dengan menjalankan siasatan," katanya semasa sidang akhbar pada Ahad.
Media sebelum ini melaporkan, KPKM menerusi Kawalselia Padi dan Beras sedang bekerjsama dengan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bagi menyiasat isu kartel yang didakwa menekan nasib pesawah.
Sementara itu, Mohamad berkata, KPKM sama sekali tidak akan campur tangan dan memberikan kebebasan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung isu terbabit.
Terdahulu, beliau merasmikan program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan di bendang Tok Ajam di sini.
Hadir sama, Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Muhammad Husin.