'Beri jaminan polis tegas, tak sembunyi maklumat dari rakyat' - Lam Thye

Iklan
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Lee Lam Thye

SHAH ALAM - Polis digesa untuk telus dan memaklumkan kepada orang ramai mengenai tindakan yang dikenakan terhadap anggota terlibat kes salah laku.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, tindakan itu penting bagi memberi jaminan bahawa pasukan keselamatan tegas dan berpegang teguh terhadap keluhuran undang-undang.

Iklan
Iklan

Malah beliau turut memuji Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan timbalannya, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay atas komitmen mereka mengawal serta mengurus institusi kepolisan.

"Maklumat yang dikongsikan di media juga akan memberi jaminan kepada orang awam bahawa polis sedang mengambil tindakan terhadap anggota yang ingkar selain menunjukkan pengurusan polis tidak menyembunyikan apa-apa daripada rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Iklan

Dalam pada itu, Lam Thye turut berharap agar pengurusan tertinggi pasukan itu tegas dalam mengawal peningkatan kes salah laku anggota polis.

Menurutnya, wujud keperluan untuk memupuk budaya etika yang baik dalam kalangan anggota dan ia perlu diberi penekanan.

Iklan

"Dalam mana-mana organisasi tidak kira swasta atau awam, dengan jumlah tenaga kerja yang besar, akan sentiasa ada individu bermasalah seperti kata peribahasa 'dalam setandan pisang tidak semuanya elok'.

"Justeru apa yang perlu dilakukan ialah memastikan pisang yang tidak elok ini dapat dikenal pasti lebih awal supaya dapat dipantau dan diambil tindakan terhadapnya," katanya.