TANAH MERAH - Seorang ahli perniagaan mengalami kerugian lebih RM5 juta selepas lima unit kedai menjual alat ganti motosikal dan motosikal terpakai miliknya terbakar dalam kejadian di Kampung Manal, Jalan Jedok di sini, pada Ahad.
Kebakaran disedari berlaku pada jam 9.30 pagi bermula dari stor tempat penyimpanan ‘cover set’ dan kotak-kotak barangan motosikal.
Pemiliknya, Teo Shi Jie, 27, berkata, dia yang berada di rumah di Kampung Belimbing menerima panggilan telefon daripada seorang pekerjanya yang memaklumkan melihat api semasa tiba kedai untuk memulakan operasi perniagaan.
Menurut Shi Jie, dia bergegas ke kedainya dan ternampak kepulan asap tebal serta api besar yang menjulang dari jauh ketika dalam perjalanan ke premisnya itu.
"Semasa saya tiba, api sedang marak dan 12 pekerja membantu mengeluarkan lebih 40 motosikal terpakai yang masih selamat ke bahagian luar kedai bagi mengelakkan terbakar.
"Kami cuba padam menggunakan tiga alat pemadam api tetapi tidak berjaya dan api seterusnya membakar kesemua barangan alat ganti termasuk rim, cat sembur serta ‘cover set’ hingga saya rugi sekitar RM5 juta,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini, pada Ahad.
Shi Jie memberitahu sudah menjalankan perniagaan tersebut selama 10 tahun bermula 2014.
"Bagaimanapun selain alat ganti itu, sebuah kereta, lapan motosikal terpakai juga terbakar manakala motosikal-motosikal terpakai yang sempat diselamatkan, dipindahkan ke tempat lain buat sementara waktu,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Zon II Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kelantan, Penguasa Bomba Mohd Sham Kamaruddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.36 pagi dan bergegas ke lokasi dengan tiga jentera bersama 31 anggota dan pegawai dari Balai Tanah Merah, Kemahang serta Machang.
Katanya, pasukan bomba mengalami sedikit kesukaran ketika kerja-kerja memadamkan kebakaran kerana barangan seperti getah tayar dan kertas kotak menyebabkan api berpanjangan.
"Pihak bomba lebih dahulu berjaya mengawal api daripada merebak ke unit-unit kedai lain yang terletak bersebelahan.
"Kami mengambil masa lebih tiga jam untuk memadam kebakaran sepenuhnya dan kejadian tidak melibatkan kemalangan jiwa.
Tambah beliau, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.