'BN-PH adik beradik, runding elok-elok' - Zahid

Iklan
Ahmad Zahid. Foto Bernama

IPOH - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Perak terus mempertahankan keikhlasan dan persepakatan dalam pentadbiran negeri.

Beliau berkata, keikhlasan yang ditunjukkan sebelum ini telah membuktikan BN dan PH mampu mengikat kerjasama sebagai Kerajaan Perpaduan bukan sahaja di peringkat negeri, malah di peringkat Pusat.

Iklan
Iklan

Begitupun katanya, keikhlasan itu harus diikuti dengan perundingan yang telus bagi mengelak berlakunya perebutan jawatan dalam kalangan pemimpin parti.

"Kita adik-beradik jadi berunding elok-elok. Insya-ALLAH, Datuk Seri Saarani Mohamad (Pengerusi BN Perak) akan mempertahankan kerajaan Perpaduan ini di Perak.

Iklan

"Pesanan saya kepada Pengerusi PH Perak (Datuk Seri Dr Mujahid Yusof), ingat pesanan abang ini bahawa rezeki tidak pernah salah alamat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dalam Konvensyen Kerajaan Perpaduan Peringkat Negeri Perak Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Ahad.

Iklan

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN turut menzahirkan penghargaan atas keikhlasan PH yang memberi mandat kepada BN melantik Menteri Besar Perak.

Katanya, jika semangat kepimpinan itu terus diperlihatkan, PH dan BN mampu menjadi sebuah kerajaan lagi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

"Harapan saya biarpun ketika ini PH mempunyai 24 kerusi dan BN sembilan kerusi, janganlah tinggalkan kami.

"Di bawah kepimpinan Menteri Besar dan didokong semangat perpaduan yang kita lihat hari ini, saya yakin kita boleh bawa lebih dari sembilan kerusi itu (PRU16)," katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, di bawah pimpinan BN, Perak telah merekodkan kutipan hasil tertinggi RM1.21 bilion tahun lalu.

Ujarnya, dengan pencapaian itu, lebih banyak pembangunan akan dibawa ke negeri ini untuk kesejahteraan rakyatnya, sesuai dengan kedudukan Perdana Menteri sebagai Ahli Parlimen Tambun dari Perak.

"Jika kita terus beri sokongan sepenuhnya kepada Perdana Menteri, banyak lagi projek akan dibawa ke negeri ini.

"Tanpa perlu meminta-minta, beliau tahu masa untuk buat pengagihan kepada Perak," katanya.