TAJUK berita hari ini berbunyi,"Tarikh khusus peralihan kuasa wajar dibincang - Anwar" adalah cukup menarik untuk dibincangkan. Ia kenyataan yang berani, dan solid pada masanya.
Ya setuju dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, sememangnya peralihan kuasa perlu ada tarikh khusus, ia dinamakan sebagai pelan peralihan kuasa. Sudah sampai masanya perbincangan peralihan kuasa menjurus hingga kepada perincian tarikhnya.
Tun M sudah berulang kali menyebut akan serah kuasa, akan kotakan janji. Namun latar masanya tidak konsisten, 2 tahun, 3 tahun, hingga ekonomi stabil, hingga segala masalah selesai?
Jika kata putusnya ialah hingga masalah ekonomi negara selesai, namun apa yang lebih diyakini ialah masalah ekonomi negara tidak boleh selesai selagi peralihan kuasa tidak berlaku.
Tiada kepastian ini meletakkan negara di kedudukan yang tidak progresif. Malah ekonomi juga semakin tidak menentu dan seperti hilang arah sebagaimana menterinya.
Jika sudah termeterai tarikh khusus dengan tempoh masa yang diunjurkan, maka negara akan lebih bersedia. Ekonomi negara khususnya tidak lagi teragak-agak untuk bergerak selari dengan pelan peralihan kuasa yang sudah dimuktamadkan secara terperinci.
Ekonomi Malaysia dijangka beransur kukuh dan mapan menjelang tarikh peralihan kuasa apabila pelabur luar mula mendapat keyakinan awal. Indeks pasaran saham negara akan kembali positif dan melonjak dengan kerancakan pelabur Arab, Turki, Eropah, China dan Jepun, datang ke negara ini demi menyemai keyakinan terhadap Anwar yang mereka kenal, harimau ekonomi Asia.
Anjakan paradigma akan berlaku dalam erti kata yang sebenar. Rakyat akan mula bersatu dan berpadu menuju ke detik ini, sebuah negara rakyat dalam pembikinan.
Percaya dan yakinlah, Anwar Ibrahim adalah sosok yang paling layak untuk mengemudi tanah air dan menyelesaikan masalah negara ini.
Masalah ekonomi, masalah sosial dan masalah perpaduan, semua ini mampu ditangani oleh Anwar tanpa meminggirkan isu-isu rakyat yang selama ini menjadi zikir naratifnya, bukan cukong kaya-raya atau kroni Disneyland dan sebagainya.
Sudah sampai masanya pelan peralihan kuasa mengambil tempat untuk dimulakan, tarikh keramat sebuah reformasi perlu dimuktamadkan untuk menobatkan Anwar Ibrahim Perdana Menteri ke-8, Perdana Menteri RAKYAT.
* Edy Noor Reduan ialah aktivis blogger