ALOR SETAR - Tindakan tiga sekeluarga yang lengkap berpakaian Melayu tradisional bersilat di pekarangan Masjid Nabawi, Madinah bukan perkara negatif malah dilakukan di luar waktu solat.
Presiden Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia (PSSCM), Datuk Maideen Kadir Shah berkata, mereka juga dilihat menutup aurat, menepati syariat Islam dan dianggap tidak menyalahi etika.
Menurutnya, tidak ada sesuatu yang dilakukan tiga individu itu termasuk dua kanak-kanak yang telah mencemarkan maruah dan imej manusia.
"Saya tak nampak apa salahnya. Kalau kita pakai jubah di sini, tidak ada masalah pun.
"Jadi apa salahnya kalau kita pakai baju songket di sana. Pada saya tidak nampak (kesalahan) selagi mereka menutup aurat dan menepati syariat Islam," katanya pada sidang akhbar pada Ahad.
Beliau berkata demikian mengulas video tular yang berdurasi 27 saat memaparkan seorang lelaki dan dua kanak-kanak berpakaian Melayu dan bertanjak bersilat di pekarangan Masjid Nabawi, Madinah.
Terdahulu, beliau hadir Majlis Perasmian Galeri PSSCM di Muzium Negeri Kedah dan Majlis Serah Tapak antara PSSCM (Pempamer) dan Lembaga Muzium Negeri Kedah.
Hadir sama, Pengarah Muzium Negeri Kedah, Subsidi Shukri dan Exco Negeri Kedah, Datuk Mohd Salleh Saidin selalu Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Kedah.
Maideen yang juga guru utama PSSCM berkata, di Malaysia, masjid membawa seni mempertahankan diri itu masuk ke pekarangannya sebagai aktiviti menyemarakkan pusat ibadat umat Islam.
"Saya tak nampak perkara itu negatif. Jadi kita sebagai orang Melayu, kita tahu bahawa silat adalah identiti bangsa kita.
"Silat adalah pakaian bangsa kita dan silat adalah ilmu yang mendidik bangsa kita menjadi seorang khalifah, guru, pemimpin negara, agama dan bangsa," katanya.