MIAMI - Kapal persiaran mewah terbesar di dunia, Icon of the Seas yang berkapasiti maksimum 10,000 penumpang melakukan pelayaran sulungnya apabila berlepas dari Miami, Florida pada Sabtu.
Kapal milik jenama perkapalan mewah, Kumpulan Royal Caribbean itu adalah lebih panjang daripada ketinggian Menara Eiffel, Paris atau lima kali ganda saiz Titatic.
Pada satu-satu masa, kapal sepanjang 365 meter (m) dengan 20 dek itu boleh membawa 5,600 penumpang dan 2,350 anak kapal.
Berdasarkan kapasiti maksimumnya, Icon of the Seas yang dibina selama 900 hari di limbungan kapal di Turku, Finland, boleh membawa sehingga 7,600 penumpang.
Menurut Daily Mail, kapal persiaran gergasi berharga 1.5 bilion pound (RM8.9 bilion) itu dilengkapi taman air di atas kapal terbesar di dunia yang turut menampilkan enam gelongsor besar, tujuh kolam renang dan sembilan pusaran air.
Direka bentuk untuk menarik minat golongan muda dan mereka yang berkeluarga, pelbagai kemudahan aktiviti riadah seperti dinding panjat tebing, laluan berhalangan, arked permainan dan bar karaoke turut disediakan.
Selain itu, terdapat juga pentas persembahan dikenali sebagai AquaDome, 40 tempat makan, barlounge, padang golf mini, air terjun dan gelanggang ais.
Pada Khamis lalu, bintang bola sepak Argentina, Lionel Messi yang kini menyarung jersi kelab Amerika Syarikat, Inter Miami menghadiri upacara perasmian kapal itu.
Pembinaan Icon of the Seas dengan berat sekitar 250,800 tan itu menelan belanja AS$2 billon (kira-kira RM9.4 bilion).
Kuasa Icon of the Seas dijana oleh gas asli cecair mesra alam (LNG) walaupun sesetengah pakar mengatakan sistem itu boleh membocorkan jumlah gas metana yang merosakkan atmosfera.
IA juga mempunyai sistem pirolisis dibantu gelombang mikro untuk menukar sisa kepada gas menghasilkan tenaga dan sistem osmosis songsang untuk menyediakan hampir semua air tawar yang diperlukan kapal. - Agensi