GEORGE TOWN - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memaklumkan bahawa gangguan air berjadual yang sepatutnya bermula esok malam (29 Januari) bagi kerja-kerja pengalihan dan sambungan paip 600 milimeter (mm) merentasi Sungai Perai, telah ditangguhkan sementara kepada jam 11.30 malam Selasa (30 Januari).
PBAPP dalam kenyataan berkata, perkara itu dipersetujui selepas mengambil kira permintaan pengguna di kawasan terlibat yang mahukan 'tempoh henti' lebih lama sebelum pelaksanaan pengalihan dan penyambungan paip 600mm (Pelan B).
"PBAPP bersetuju bahawa ini (tempoh henti lebih lama) akan lebih memudahkan semua pengguna yang terjejas.
"Kami merancang untuk menyediakan masa pendahuluan sekurang-kurangnya 24 jam untuk semua 120,000 pengguna (yang terjejas) menyimpan air mencukupi sebelum melaksanakan gangguan air berjadual untuk menjalankan Pelan B,,” menurut kenyataan itu.
PBAPP sebelum ini memaklumkan gangguan bekalan air berjadual itu melibatkan 120,000 akaun pengguna di Daerah Barat Daya.
PBAPP berkata, gangguan bekalan air ketika ini adalah disebabkan kebocoran besar pada saluran paip 1,350mm di dasar sungai Sungai Perai pada Selasa lepas.
PBAPP menjelaskan, biarpun kerja-kerja pengapitan telah dilakukan sejak Jumaat lepas namun, paip itu masih mengalami kebocoran malah berisiko untuk bocor sekali lagi sehingga kerja-kerja lencongan dijalankan untuk menggantikannya.
"Disebabkan oleh faktor risiko ini, Pelan B mesti dilaksanakan secepat mungkin, selepas semua pengguna yang terjejas ketika ini menerima bekalan air,” katanya.
Sementara itu menurut PBAPP, setakat jam 6.30 petang tadi sebanyak 109,000 daripada 120,000 pengguna yang terjejas telah pun mendapat semula bekalan air.
Katanya, pihaknya akan berusaha memulihkan semula bekalan air untuk baki 11,000 pengguna terjejas selewat-lewatnya malam ini atau awal pagi esok (29 Jan).
Kejadian paip bocor di dasar Sungai Perai pada Selasa lepas adalah kali ketiga selepas insiden pada Disember tahun lepas dan 12 Januari.
Berikutan itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah melaksanakan kaedah pemasangan paip gantian sementara merentasi Sungai Perai, yang berfungsi sekurang-kurangnya lapan bulan, sementara menunggu penggantian paip kekal di dasar sungai itu siap. - Bernama