Usah percaya skim pelaburan janjikan untung terlalu besar

Iklan
Gambar hiasan.

SINDIKET penipuan pelaburan semakin licik apabila mula menyasarkan warga emas dengan janji manis keuntungan berlipat ganda.

Mana tidaknya, berdasarkan statistik yang didedah Polis Diraja Malaysia (PDRM), bagi tahun 2023, seramai 744 individu atau 13 peratus mangsa penipuan pelaburan adalah mereka yang berumur 60 tahun ke atas.

Iklan
Iklan

Jumlah ini merupakan peningkatan 213 peratus berbanding tahun 2022 yang hanya mencatatkan 237 individu dari kumpulan umur yang sama.

Peningkatan mendadak itu menunjukkan ada sindiket yang cuba memancing warga emas sehingga terjerumus menjadi mangsa penipuan.

Iklan

Apa yang sangat ditakuti ialah jumlah kerugian yang direkodkan amat besar hingga mencecah puluhan juta ringgit.

Buktinya, pada 26 Januari lalu, seorang wanita berusia 80 di Perak berputih mata apabila kerugian RM10.4 juta kerana terjebak dengan penipuan pelaburan kripto.

Iklan

Bayangkan jumlah sebesar itu diberikan kepada sindiket yang bermodalkan janji manis hingga boleh menyebabkan mangsa ini menjadi trauma dan sebagainya.

Sebagai anak, saudara mahu pun jiran, kongsilah ilmu mengelak scammer ini kepada semua orang tanpa kira usia kerana sindiket sentiasa mencari peluang dan ruang untuk memastikan keuntungan berpihak kepada mereka.

Tanggungjawab ini bukan hanya terletak di tangan pihak berkuasa seperti PDRM semata-mata untuk membanteras jenayah terbabit.

Carilah ilmu dari guru yang sebenar jika ingin melabur.

Paling utama, jangan sesekali menyertai skim pelaburan yang tidak dilesenkan atau tidak diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti.

Jauhilah skim pelaburan yang menawarkan keuntungan yang terlalu tinggi, pulangan pelaburan terlalu cepat, tiada risiko kerugian selain menggunakan akaun persendirian.

Janganlah tergolong dalam statistik sebagai sebahagian mangsa penipuan.

Secara keseluruhan, sejumlah 5,389 kes penipuan pelaburan dicatatkan sepanjang tahun 2023 melibatkan kerugian mencecah RM472 juta.

Justeru, diingatkan kepada mereka yang berada dalam lingkungan usia 60 tahun ke atas untuk lebih berhati-hati semasa menggunakan media sosial yang menjadi medium sindiket bagi mencari mangsa.