KISAH inspirasi Tajikistan yang membuat debut diteruskan apabila layak ke suku akhir Piala Asia 2023 selepas menyingkirkan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 5-3 menerusi penentuan penalti selepas kedudukan terikat 1-1 di Stadium Ahmad Ali, Al Rayyan, pada malam Ahad (awal pagi waktu Malaysia).
Pada aksi pusingan 16 terbaik, UAE menemui jaringan penyamaan di penghujung masa permainan sebenar menerusi Khalifa Al Hammadi untuk menafikan gol pembukaan Tajikistan dihasilkan Vahdat Hanonov di babak pertama dan kedudukan seri kekal sehingga 30 minit masa tambahan tamat.
Pada penentuan penalti, penjaga gol Yatimov Rustam muncul wira Tajikistan apabila bijak merebahkan badan untuk menafikan sepakan kedua UAE yang diambil Caio Canedo Correa sekali gus membantu skuad bimbingan Petar Segrt melangkah ke pusingan seterusnya.
Terdahulu, ketua pasukan Akhtam Nazarov, Vahdat Hanonov, Ehson Panshanbe, Soirov Rustam dan Shukurov Alisher masing-masing menyempurnakan tugas dengan baik selepas tidak berdepan masalah menewaskan penjaga gol UAE Khalid Eisa Al-Mesmari di gawang.
Tiga penalti UAE yang berjaya menggegar jaring lawan diambil Abdulla Idrees Al Hammadi, Fabio Lima dan Ali Saleh.
Terdahulu pada 90 minit permainan, kedua-dua pasukan menunjukkan keghairahan sebaik wisel permainan dibunyikan, namun beberapa peluang gagal disudahkan dengan baik.
Selepas percubaan demi percubaan tidak mendatangkan hasil, Tajikistan akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-30 apabila Hanonov yang dicabar dua pemain pertahanan lawan melompat tinggi untuk menanduk masuk bola hantaran Zoir Dzhuraboev dari sebelah kanan.
Zayed Sultan Al Zaabi mensia-siakan peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan buat skuad bimbingan Paulo Bento selepas beliau yang berlari dari belakang pertahanan lawan untuk menyambut hantaran lintang, melepaskan rembatan lemah tepat ke dakapan Rustam pada minit ke-38.
Tajikistan berpeluang ‘membunuh’ perlawanan lebih awal di awal babak kedua tetapi faktor penyudah tumpul terus menjadi penghalang selepas rembatan Panshanbe pada minit ke-55 dan Alisher Dzhalilov tiga minit kemudian mudah dinafikan Al-Mesmari di gawang.
Dzhalilov sekali lagi terlepas peluang keemasan untuk melebarkan kedudukan buat Tajikistan bimbingan Petar Segrt selepas gagal menolak masuk bola hantaran lintang dari sebelah kanan Samiev Shahrom pada minit ke-71.
UAE berjaya menyamakan kedudukan pada masa tambahan separuh masa kedua menerusi tandukan Al Hammadi yang bijak mencari ruang untuk menyempurnakan sepakan percuma cantik Ali Saleh.
Menanti Tajikistan di pentas suku akhir Jumaat ini adalah pemenang antara Iraq dan Jordan yang akan membuat perhitungan pada Isnin. - Bernama