Faisal Halim hadiahkan abang rambut perang motosikal kedua

Iklan
Derrick membonceng Faisal selepas penyerahan motosikal di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Ahad.

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu.

Pepatah sesuai menggambarkan rezeki penyokong setia bola sepak negara, Derrick Gan atau abang rambut perang apabila memiliki motosikal baharu kedua pada Ahad.

Iklan
Iklan

Motosikal model Yamaha LC135 tersebut dihadiahkan oleh pemain sayap lincah skuad Harimau Malaya, Faisal Halim bersama penajanya, Blast Active di Bukit Jalil.

Pemuda dari Melaka itu tular di media sosial susulan videonya menangis ketika Malaysia mengikat Korea Selatan 3-3 dalam saingan terakhir Kumpulan E Piala Asia Qatar 2023 di Doha baru-baru ini.

Iklan

Menerusi video pendek di Instagram Story Blast Active, Faisal menyerahkan motosikal itu selain mengucapkan terima kasih kepada Derrick yang sanggup menjual motosikalnya untuk menyaksikan perlawanan Harimau Malaysia di Piala Asia.

Faisal (kiri) menyerahkan motosikal kepada Derrick di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Ahad. Foto Agensi

"Saya sebagai duta daripada Blast, inilah duit permulaan awal saya dapat dari Blast, saya beli motor untuk awak.

Iklan

"Saya sebagai pemain memang agak terharu, teruja dan agak sedih sebenarnya melihat awak menangis waktu kita (bertemu) dengan Korea hari itu.

"Jadi, saya dah niat dengan Blast nak hadiahkan motor kepada awak. Inilah motor awak," ujar Faisal.

Derrick sebelum itu menerima hadiah motosikal jenis skuter daripada syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) dengan kerjasama sebuah stesen radio swasta tempatan sebaik dia tiba di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Doha.

Minggu lalu, reaksi Derrick yang menangis selepas Malaysia meraih gol kedua menerusi sepakan penalti Arif Aiman Hanapi ketika bertemu Korea Selatan menyentuh rasa sebak dalam kalangan penyokong negara yang turut berkongsi rasa sama ketika menyaksikan perlawanan tersebut.

Bagaimanapun, ada cerita di sebalik tangisannya di Doha itu selepas tular Derrick sebenarnya sanggup menjual motosikalnya untuk mencari dana demi menyaksikan perlawanan skuad negara di Qatar.

Derrick dijangka menerima sebuah lagi motosikal selepas seorang individu, Ahmad Alhafiz Najmi, 33, bermurah hati mahu menghadiahkan motosikal Honda RS150 yang dianggarkan bernilai RM6,000.