Empat keluarga tak lena tidur bimbang tanah runtuh

Iklan
Hakisan sungai sejak tiga tahun lalu mengakibatkan rintuhan tanah di kawasan belakang rumah penduduk.

KOTA BHARU - Empat keluarga di Taman Haji Hadi, Kampung Gaung, Pendek Salor dekat sini tidak lena tidur berikutan kejadian hakisan sungai dan tanah runtuh yang berlaku hanya beberapa meter dari belakang kediaman mereka.

Tinjauan di lokasi terbabit mendapati ada kediaman yang terletak tidak kurang 50 meter dari sungai manakala yang lain pula berlaku gelinciran tanah akibat aliran mata air yang deras dipercayai dari bawah tanah.

Iklan
Iklan

Keadaan tanah runtuh pula setinggi lebih 20 meter seperti gaung kecil dan berlaku beberapa aliran mata air yang didakwa boleh mempercepatkan runtuhan tanah.

Saliza menunjukkan gaung kecil akibat runtuhan tanah selepas berlaku hakisan sungai.

Penduduk mendakwa pergerakan tanah berlaku setiap kali musim tengkujuh dan runtuhan tebing sungai pula bermula kira-kira tiga tahun lalu.

Iklan

Seorang penduduk, Saliza Mohamed, 52, memberitahu sudah memindahkan semua dokumen penting ke pejabat suaminya kerana mendakwa keadaan rumahnya sudah tidak selamat untuk didiami.

Menurutnya, ruang dapur rumahnya turut mengalami pergerakan tanah terutama di kawasan sinki.

Iklan

"Kami sudah tak dapat tidur lena sejak tiga tahun lalu selepas berlaku hakisan di kawasan belakang rumah," katanya ketika ditemui lewat petang Ahad.

Keadaan sinki di kediaman Saliza dipercayai berlaku pergerakan bawah tanah.

Tambah Saliza, ketika mula membeli rumah pada 2018, tanah rizab sungai di belakang kediamannya sangat luas tetapi kini sudah berlaku hakisan hampir 100 meter ke arah kediaman itu.

Jirannya, Harniza Yaacob, 53, pula berkata, bunyi aliran sungai yang kuat pada waktu malam sangat menakutkan kerana ada waktunya dia terpaksa tinggal berseorangan jika anaknya keluar bekerja.

Dia yang baharu sahaja kematian suami kira-kira tiga bulan lalu juga tidak lena tidur terutama jika hujan lebat.

"Ke mana kami mahu pergi. Kami terpaksa bertahan kerana ini sahaja kediaman kami.

"Saya terpaksa pasang lampu limpah sejak tiga tahun lalu selepas berlaku pergerakan tanah serta hakisan akibat aliran air di sekitar rumah," katanya.

Jelasnya, kejadian terbaru, pergerakan tanah berlaku kurang 20 meter dari rumahnya.

"Saya tidak tahu nasib kami di sini kerana setiap hari ada gelinciran tanah berikutan aliran sungai deras terutama ketika air pasang," katanya.

Mata air dipercayai dari bawah tanah kediaman penduduk.

Seorang lagi penduduk, Mohd Nawi Yaakob, 53, mendakwa runtuhan tanah kerap berlaku sejak 2009 sehingga kini hanya kira-kira dua meter sahaja dari pagar belakang rumahnya.

Mohd Nawi berkata, keadaan itu bukan sahaja membahayakan penduduk di tepi sungai malah turut memberi kesan kepada 13 kediaman lain di taman perumahan berkenaan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Saizol Ismail memaklumkan menerima laporan mengenai kejadian itu dan akan melakukan tinjauan segera.

"Saya akan berbincang dengan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran negeri berkaitan masalah ini," katanya.

Penduduk melihat retakan pagar sebuah rumah di Taman Haji Hadi.