PATI bayar RM2,500 untuk masuk ke Sabah

Iklan
PATI yang ditahan dalam serbuan oleh Imigresen Malaysia Sabah di Penampang.

KOTA KINABALU - Seramai 11 pendatang asing tanpa izin (PATI) bukan saja sanggup bergadai nyawa merentas lautan menggunakan bot laju tetapi juga sanggup dikenakan bayaran antara RM1,500 sehingga RM2,500 untuk menyeludup masuk ke Sabah.

Bagaimanapun, aktiviti penyeludupan itu berjaya dipatahkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia apabila kesemua PATI dari Filipina ditahan dalam operasi penguatkuasaan terhadap sebuah kenderaan di sekitar Penampang pada Sabtu.

Iklan
Iklan

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, operasi bermula pada jam 4 pagi selepas pihaknya menerima maklumat berkaitan dengan penyeludupan migran.

Menurutnya, seramai 19 individu diperiksa dan 11 daripadanya berusia antara lapan bulan hingga 47 tahun adalah PATI ditahan dengan pelbagai kesalahan imigresen di bawah Seksyen 51(5)b Akta Imigresen 1959/53.

Iklan

"Hasil serbuan mendapati sembilan PATI berada dalam kenderaan jenis pacuan empat roda di mana enam termasuk seorang kanak-kanak berada di dalam ruang kenderaan dan tiga lagi bersembunyi di ruang 'bucket'.

"Kenderaan itu dipandu oleh seorang individu tempatan berusia 26 tahun yang dikesan bergerak dari Sandakan menuju ke Kota Kinabalu pada jam 9.30 malam Jumaat.

Iklan
Sharifah Sitti Saleha menunjukkan gambar PATI yang ditahan dalam operasi penguatkuasaan di Penampang.

"Sindiket ini menyediakan perkhidmatan transporter membawa masuk warga asing Filipina dengan bayaran sebanyak RM1,500 hingga RM2,500 seorang," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia Sabah di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, beliau berkata, sindiket tersebut turut menggunakan modus operandi lokasi Pulau Bakungan, Filipina, sebagai tempat transit sebelum memasuki Sabah.

"Hasil maklumat risikan juga berjaya mengenal pasti sebuah rumah di Penampang digunakan sebagai rumah transit untuk PATI ini sebelum dihantar ke lokasi yang lain," katanya.

Susulan daripada kedua-dua serbuan itu secara keseluruhan Imigresen Malaysia berjaya menahan 11 PATI dan empat warga tempatan berusia 25 hingga 56 tahun yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran.

"Kita percaya aktiviti ini telah lama berlaku tetapi secara aktif kita terima maklumat sejak 2021.

"Suspek disyaki telah melakukan jenayah sebagai transporter membawa migran haram masuk ke Sabah.

"Sehubungan itu, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, dan lain-lain kesalahan di bawah Seksyen 55E iaitu membenarkan imigran haram untuk masuk dan tinggal di premis dan Seksyen 26(A) Akta Anti Pemerdangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 iaitu kesalahan penyeludupan imigran haram," katanya.