Tiada akses rawatan, pesakit kanser di Gaza rayu bantuan segera

Iklan
Penduduk Palestin yang dipindahkan cuba memanaskan badan di tengah-tengah khemah yang dibanjiri hujan lebat, di kem sementara di tengah-tengah pertempuran antara tentera Israel dan pejuang Hamas. Foto AFP

RAFAH - Masalah mendapatkan rawatan dan kekurangan ubat-ubatan terus membelenggu penduduk Palestin terutama di Gaza, semenjak konflik Hamas-Israel tercetus pada 7 Oktober tahun lalu.

Seorang pelarian Palestin, Hani Khalil Naeem, 52, yang juga pesakit kanser berkata, sebelum ini beliau menerima rawatan di beberapa hospital antaranya Hospital Al-Mutala' di Baitulmaqdis dan Hospital Istishari di Ramallah, namun kini nyawanya terancam akibat pemberhentian rawatan itu.

Iklan
Iklan

"Sepatutnya saya menjalani rawatan pada 20 November lalu, tetapi tentera Israel telah menghalang pergerakan antara Semenanjung Gaza dan Tebing Barat ke atas penduduk Palestin menyebabkan saya terputus akses kepada rawatan rutin.

"Akibat tiada ubatan dan akses rawatan di Gaza, saya dan puluhan ribu lagi rakyat Palestin yang sedia sakit terpaksa terus menderita, ditambah pula sekatan perjalanan yang dikenakan tentera Israel ke atas penduduk Palestin sejak 7 Oktober tahun lalu,” katanya kepada Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

Iklan

Beliau yang kini berlindung di sebuah sekolah di Rafah juga menjelaskan persekitaran pusat perlindungan yang sesak dan kotor turut menyebabkan keadaan kesihatannya semakin merosot.

"Nyawa kami terancam. Bukan sahaja oleh Zionis Israel tapi kelewatan mendapat rawatan atau lebih parah tiada akses langsung kepada rawatan dan ubatan.

Iklan

"Keadaan persekitaran yang tidak bersih di pusat perlindungan ini juga menyumbang ke arah itu.

"Sebarang masalah kesihatan akan menjadi ancaman kepada hidup saya,” katanya.

Pada masa sama, beliau memberitahu telah pun membuat permohonan untuk mendapatkan rawatan di luar negara sama ada di Turki, Mesir atau mana-mana negara lain, tetapi semua itu tetap memerlukan kelulusan dari pihak tentera Israel.

Bagi Ramez yang kehilangan abangnya yang juga pesakit kanser, mereka tidak dapat berbuat apa-apa apabila semua akses keluar masuk ditentukan Israel sejak sebelum bermulanya konflik lagi.

Lebih memburukkan keadaan apabila selepas konflik, pihak tentera Israel seolah sengaja menangguh dan melambatkan proses kelulusan kebenaran melintas.

"Abang saya meninggal dunia sebelum sempat menerima rawatan lanjut,” katanya.

Abangnya Taha Oqasha,58, bapa kepada empat cahaya mata, hanya sempat mengambil tiga dos suntikan untuk penyakitnya di Hospital Turki di zon tengah Semenanjung Gaza sebelum melarikan diri bersama keluarga ke Rafah pada awal konflik itu berlaku.

Menurut sumber dari Agensi Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS), terdapat kira-kira 64,000 orang yang cedera dalam peperangan memerlukan rawatan sama ada di wilayah utara Palestin atau di luar negara. - Bernama/WAFA