Azmin pimpin Bersatu Selangor, Faizal diganti di Negeri Sembilan

Iklan
Mohamed Azmin (kiri), Ahmad Faizal

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuat perubahan kepimpinan di Selangor dan Negeri Sembilan, yang disifatkan sebagai usaha membugarkan parti itu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Negeri Sembilan yang sebelum ini diterajui oleh Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan digantikan dengan Mohamad Hanifah Abu Bakar manakala Selangor akan diterajui Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, menggantikan Datuk Abdul Rashid Asari.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada Ahad juga telah melantik tiga ahli MPT baharu iaitu Ahli Parlimen Padang Serai, Datuk Azman Nasrudin; Ahli Dewan Undangan Negeri Taman Medan, Dr Afif Bahardin dan Penolong Setiausaha Srikandi, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

"Fadzillah Mohd Pilus pula dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin yang baharu,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Tambah Hamzah, mesyuarat juga bersetuju untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana wakil rakyat yang khianat bagi maksud pengosongan kerusi dan Bersatu bersedia untuk berdepan pilihan raya kecil.

Selaras dengan ketegasan itu katanya, MPT juga bersetuju meminda Perkara 10 Perlembagaan Bersatu bagi menghalang insiden sama daripada berulang pada masa hadapan.

Iklan

"Dalam menyusun langkah-langkah konkrit ke hadapan, MPT juga sebulat suara meneruskan perjuangan di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden.

"Ia bukan sahaja dalam konteks pemerkasaan parti secara menyeluruh, tetapi untuk tampil lebih kredibel, tegas dan berani dalam melawan fitnah jahat serta kezaliman kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim,” jelasnya.