Sambutan keberangkatan balik Agong, Permaisuri dijangka luar biasa

Iklan
Dari kiri: Sharifful Hakim, Raja Abdul Karim, Faizul, dan Mohd Shafie

KUANTAN - Sambutan keberangkatan balik Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Pahang pada Selasa dijangka mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat di beberapa kawasan bagi menzahirkan rasa rindu terhadap baginda berdua.

Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Istiadat dan Pengurusan Majlis, Sharifful Hakim Suman berkata, lebih 15,000 rakyat memenuhi laluan yang akan dilalui Al-Sultan Abdullah bersama Tunku Azizah.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mereka yang terawal akan diberi bendera Pahang untuk kibaran dalam acara sambutan berkenaan pada jam 10 pagi itu.

"Sambutan bermula dari pangkalan udara TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia), susur terus ke Taman Tas ke Sungai Isap dan menghala ke Kompleks Teruntum.

Iklan

"Baginda berdua turut menyusuri laluan bandar Kuantan seterusnya ke Pejabat Pos kemudian ke Jalan Teluk Sisek sehingga ke Dewan Jubli Perak, Sultan Haji Ahmad Shah," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Sambutan itu merupakan Istiadat Keberangkatan Balik Sempena Tamat Tempoh Pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ke-16 Tahun 2024.

Iklan

Beliau turut menjelaskan, rakyat tiada masalah untuk berada di sepanjang laluan, namun mereka perlu mematuhi arahan keselamatan.

"Kita alu-alukan rakyat untuk memeriahkan sambutan dan mereka boleh berkumpul di situ bagi menyaksikan istiadat keberangkatan itu, cuma, mereka perlu patuhi arahan keselamatan," ujar beliau.

Sharifful Hakim memaklumkan jalan yang ditutup antaranya melibatkan laluan dari Kompleks Teruntum menghala ke Jalan Merdeka.

Katanya, penutupan jalan kira-kira satu kilometer itu bagi membolehkan perarakan berkuda.

"Selain itu, Jalan Dato Abu Samah menghala Dewan Jubli Perak juga ditutup bagi perarakan dua ekor gajah," katanya yang memaklumkan, laluan alternatif dan lencongan disediakan bagi memudahkan pengguna jalan raya.

Sementara itu, pekerja swasta, Raja Abdul Karim Raja Kudin, 56, berkata, kepulangan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah bersemayam kembali sebagai payung yang memayungi rakyat di negeri ini begitu dinanti-nantikan.

"Baginda berdua tempat rakyat bernaung dan berteduh membuatkan rakyat tidak sabar menantikan kepulangan baginda kerana rindu dengan sentuhan dan santunan kasih Tuanku yang di ibaratkan sebagai ' Jantung hati rakyat'.

Kemesraan baginda kepada rakyat tidak dapat dinafikan lagi. Kita boleh rasa kelainan apabila Baginda sentiasa menyantuni rakyat dengan tanpa protokol," katanya.

Bagi mekanik kenderaan, Faizul Adhha Kamal Pasah, 50, turut menyuarakan rasa gembira dan bersyukur kerana Al-Sultan Abdullah dapat menjalankan tugas dengan cemerlang.

Dia memberitahu seluruh rakyat di Pahang berterima kasih kepada Majlis Raja-Raja kerana memberi peluang kepada Tuanku untuk memerintah sebagai Yang di-Pertuan Agong selama lima tahun untuk Malaysia.

"Tuanku sudah menjalankan tugas dengan baik dan kini telah kembali ke pangkuan rakyat dan memerintah di Pahang," luahnya.

Pemilik pusat khidmat pendigin hawa kenderaan, Mohd Shafie Alias, 41, berkata, rakyat negeri ini begitu merindui Al-Sultan Abdullah yang memerintah dan menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong dengan cukup baik sekali.

Ujarnya baginda dapat mengatasi kemelut politik sepanjang lima tahun memerintah apabila empat Perdana Menteri telah bertukar, selain isu pandemik Covid-19.

"Bila balik rasa seronok, sebab Tuanku dapat kembali bersama rakyat Pahang semula. Mungkin banyak perubahan khasnya kepada warga Kuantan," katanya.