Sempat balas mesej ibu sebelum maut nahas

Iklan
Kemalangan dua kereta mengakibatkan tiga nyawa terkorban di Kilometer 48.8 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi, Kota Tinggi pada Isnin.

KOTA TINGGI - Salah seorang daripada tiga mangsa yang terkorban dalam kemalangan di Kilometer 48.8 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi di sini pada Isnin sempat menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp kepada ibunya, Norzihan Mohamad, 50, beberapa minit sebelum nahas berlaku.

Mangsa, Amirul Asyraf Zulkifli, 29, yang berkerja sebagai pengawal keselamatan di taman tema air di Desaru, Bandar Penawar menghantar mesej tersebut kepada ibunya kira-kira pada jam 6.30 pagi.

Iklan
Iklan

"Mulanya saya mesej dia bertanya jika kerja atau tidak esok kerana mahu meminta tolong dia melihat kereta ayahnya.

"Dia sempat membalas tidak kerja dan boleh bantu. Saya kemudian menghantar mesej lagi tetapi tidak berbalas. Tak sangka pula tidak lama kemudian saya dimaklumkan menantu yang anak maut dalam kemalangan," katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) di sini.

Iklan

Kemalangan pada jam 7.25 pagi itu mengorbankan Amirul dan rakannya, Muhammad Amirul Faiz Azmi, 22, yang menaiki kereta Perodua Myvi dan dalam perjalanan ke tempat kerja di Desaru.

Turut meninggal dunia pemandu Proton Gen 2, Noor Azman Abdul Rahman, 46, yang merupakan guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Tawar.

Iklan

Bercerita lanjut, Norzihan berkata, arwah yang merupakan anak tunggal menetap di Taman Pasak Indah bersama-sama keluarga mentuanya dan kali terakhir berjumpa dengannya di Kampung Baru Seluyut pada Sabtu namun pelik kerana anaknya itu tidak makan banyak seperti biasa.

Norzihan (duduk kiri) semasa menunggu urusan bedah siasat anaknya yang terkorban dalam kemalangan di Unit Forensik HKT, Kota Tinggi pada Isnin.

"Tidak sangka dia pergi dahulu meninggalkan saya. Macam mimpi, ingat saya yang akan pergi dahulu. Saya sering pesan kepada dia kalau ibu meninggal kau mandikan jenazah ibu, tidak sangka pula sebaliknya," ujarnya.

Katanya, arwah yang mempunyai dua anak berusia empat dan tiga tahun sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk berhenti kerja dan mahu mencari duit lebih dengan bekerja di Singapura.

"Dia sudah lama kerja di Desaru itu sebelum berkahwin lagi namun disebabkan anaknya yang sudah mula bersekolah dia mahu mencari duit lebih dan merancang mahu bekerja di Singapura," katanya.

Dalam pada itu, rakan sekerja mangsa, Mohd haikal Waqiuddin Zainal, 24, berkata, setiap hari dia menaiki kereta yang sama dengan Muhammad Amirul Faiz dan Amirul Asyraf ke tempat kerja.

Bagaimanapun, katanya dia yang baru dua tahun bekerja di taman tema itu menaiki motosikal ke tempat kerja pada Isnin kerana waktu kerja yang tidak sama dengan kedua-dua mangsa.

"Mereka masuk jam 7 pagi pulang 7 petang kerana 'overtime'. Saya pula masuk lewat sikit jam 9 pagi pulang jam 7 petang hari ini.

"Memang tidak sangka, sebaik sahaja dapat tahu kemalangan itu saya terus ke lokasi kejadian menaiki motosikal dan melihat kedua-dua sahabat saya sudah tidak bernyawa," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Polis Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, ketika kejadian kereta dinaiki ia mangsa dari Kota Tinggi menghala ke Bandar Penawar sebelum berlaku kemalangan.

"Ketiga-tiga mangsa mengalami cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mangsa dibawa ke HKT. Punca kemalangan masih dalam siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan1987," ujar beliau.