Elak pakai sehelai pakaian atau singlet ketika solat, ini sebab-sebabnya

Iklan
KAUM Adam, elakkan menunaikan solat dengan hanya sehelai pakaian atau memakai singlet. -Gambar hiasan

MENUTUP aurat dengan sempurna merupakan antara syarat sah solat. Semua orang sedia maklum mengenainya.

Mungkin disebabkan itu, ada yang solat dalam keadaan ‘tidak cukup’ kain asalkan syarat sah solat tersebut sudah dipenuhi.

Iklan
Iklan

Misalnya, seorang lelaki sembahyang hanya dengan berkain pelekat sahaja tanpa berbaju atau berseluar sambil memakai singlet tanpa lengan.

Bukanlah tidak boleh berbuat demikian, tetapi apalah salahnya andai kita berpakaian elok dan cantik ketika menghadap ALLAH SWT.

Iklan

Sedangkan ketika pergi berjanji temu dengan pasangan, pandai pula kita berpakaian kemas dan berwangi-wangian, inikan pula mahu menunaikan kewajipan kepada Yang MAHA ESA.

Sinar Islam ada alasan kukuh mengapa kita perlu berbuat demikian.

Iklan

Ini kerana menerusi hantaran terbaharu di laman sosial Facebook pendakwah terkemuka, Ustaz Azhar Idrus, terdapat riwayat jelas memerihalkan larangan solat dengan sehelai pakaian dan tiada lapik pada dua bahu sebagaimana disebutkan dalam kitab hadis Lu’lu’dan Marjan.

USTAZ AZHAR IDRUS

Antaranya, Abu Hurairah RA berkata bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: "Jangan solat oleh seorang kamu pada pakaian yang sehelai yang tiada dua bahunya sesuatu.”

Dalam satu lagi hadis diriwayatkan oleh Umar bin Abi Salamah RA, beliau berkata: "Aku telah melihat Rasulullah SAW bersolat di dalam sehelai pakaian yang berselimut dengannya di dalam rumah Ummu Salamah dalam keadaan menghantarkan kedua hujungnya atas kedua bahunya.”

Mengulas lanjut tentang nas berkenaan, Azhar menjelaskan, larangan tersebut bukanlah bersifat haram, tetapi dihukumkan sebagai makruh.

Pendek kata, seorang lelaki yang hanya memakai kain atau seluar sahaja dan tidak berbaju ketika solat, hukumnya adalah makruh, tetapi solatnya tetap sah andai kain yang dipakai itu menutup antara pusat dan lututnya, ungkapnya.

Hukum sama turut terpakai apabila seseorang memakai singlet ketika menunaikan Rukun Islam kedua itu.

"Namun begitu, jumhur ulama mengatakan, disunatkan individu yang hanya memakai sehelai kain atau seluar tadi supaya turut meletakkan hujung kain di atas kedua bahunya.

"Sebahagian fuqaha pula menyatakan, makna ‘meletakkan dua hujung kain di atas kedua bahu’ adalah seperti meletakkan rida’ (kain seperti selendang lebar),” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di media sosial miliknya.

Justeru, Azhar menyarankan supaya kaum Adam memakai dua helai pakaian ketika solat seperti seluar dengan baju; atau kain sarung bersama pakaian; atau jubah dengan seluar atau kain pelekat.

"Disunatkan untuk berpakaian dua helai sebegitu. Bagaimanapun, jika seseorang hanya ada sehelai sahaja, maka hendaklah dipakai sebagai sarung. Pada masa sama, kedua hujung kain itu diikat di atas dua bahunya jika boleh,” titip beliau.