SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan kempen Cabutan WOW! Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) 2024 dengan menawarkan hadiah lumayan bernilai lebih RM1.3 juta untuk dimenangi oleh 983 pemenang.
Pengerusinya, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, cabutan kali ini terdiri daripada Cabutan Tahunan bermula pada 1 Januari hingga 31 Disember 2024 dan lima Cabutan Siri yang diadakan dengan tema-tema tertentu termasuklah perayaan dan sambutan kemerdekaan.
Menurut beliau, buat julung kalinya Cabutan Siri WOW! Kasih diperkenalkan bagi menghargai insan-insan bermakna dalam kehidupan antaranya sambutan Hari Ibu, Hari Bapa dan Hari Guru.
"Cabutan Siri WOW! Gong Xi Ang Pow bermula pada 1 Januari hingga 29 Februari, WOW! Syoknya Raya akan diadakan bermula 1 Mac hingga 30 April dan WOW! Kasih pada 1 Mei hingga 30 Jun.
"Ia akan diteruskan dengan Cabutan Siri WOW! Merdeka yang bakal berlangsung pada 1 Julai hingga 31 Ogos manakala cabutan WOW! Superheroes pada 1 September hingga 31 Oktober,” katanya ketika menyampaikan ucapan semasa Majlis Pelancaran Cabutan WOW! Simpan 2024 di Kuala Lumpur. Turut hadir YBrs. Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN dan Lembaga Pengurusan PTPTN.
YBhg. Datuk Norliza Abdul Rahim, Pengerusi PTPTN (kiri) diiringi YBrs. Encik Ahmad Dasuki Abdul Majid, Ketua Eksekutif PTPTN (kanan) meletakkan tapak tangan sebagai simbolik pelancaran Cabutan WOW! Simpan SSPN 2024.